top of page

RM6 juta kos naik taraf Kompleks Belia dan Sukan Kelantan


Lebih RM6 juta diperuntuk untuk menaik taraf bangunan dan kemudahan di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. - Foto sumber internet

KOTA BHARU - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan lebih RM6 juta untuk menaik taraf beberapa bangunan dan kemudahan di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan sebagai persiapan negeri itu menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-22 pada 2024.


Ketua setiausahanya, Datuk M Noor Azman Taib berkata, antara yang dinaik taraf ialah dewan, kantin, asrama, surau, balapan, gelanggang futsal dan boling padang.


"Usaha naik taraf bangunan dan kemudahan sukan di kompleks sukan ini penting memandangkan venue ini menjadi tumpuan masyarakat setempat terutama golongan belia," katanya kepada Bernama selepas Majlis Penyerahan Projek Menaik taraf Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan di sini hari ini.


Menurutnya, naik taraf ini juga diharap dapat membantu atlet Kelantan meningkatkan prestasi masing-masing menjelang Sukma 2024.


Beliau berkata, KBS dengan kerjasama kerajaan negeri juga sedang meneliti pembinaan dan naik taraf kemudahan sukan di beberapa daerah di negeri itu termasuk menaik taraf Stadium Sultan Muhammad IV dan membina pusat akuatik untuk kegunaan Sukma. - Bernama


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page