TELUK INTAN: Sebanyak RM4 juta diluluskan bagi kerja-kerja naik taraf dan menggantikan kayu di Menara Condong Teluk Intan di sini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Zairul Akmal Kasim berkata, buat masa ini Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membuat penilaian terhadap binaan kayu di menara tersebut untuk diganti dengan yang baharu.
Menurutnya, selepas selesai kerja penilaian, kerja naik taraf di menara itu akan dimulakan.
“Menara Condong antara produk pelancongan di sini yang kita sentiasa berikan perhatian kerana ia merupakan tumpuan utama pelancong ke sini.
“Untuk kerja naik taraf menara ini, sebanyak RM4 juta telah diluluskan terutama bagi menggantikan kayu-kayu yang terdapat pada binaan di menara ini. JKR yang merupakan agensi pelaksana sedang membuat penilaian terhadap kerja naik taraf di menara itu.
“Kerja naik taraf ini sejajar dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, selain itu MPTI akan melaksanakan beberapa lagi projek mengindahkan bandar ini termasuk pencahayaan di Padang Speedy di sini yang menjadi tumpuan orang ramai bersantai dan rekreasi.
Beliau berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan tahun ini dan dijangkakan Padang Speedy semakin indah pada waktu malam.
“Projek mengindahkan Padang Speedy khususnya dari aspek pencahayaan akan dilaksanakan tidak lama lagi, tahun ini juga akan nampak perubahan di Padang Speedy, yang pasti kawasan itu tidak akan lagi malap pada waktu malam.
“Padang Speedy akan berubah wajah apabila projek pencahayaan siap dilaksanakan nanti,” katanya.
Zairul Akmal berkata, kerja mengindahkan bandar ini juga merangkumi tempat makan iaitu di Medan Selera Menara Condong atau dikenali sebagai ‘bumbung biru’ yang kini sudah bertukar wajah.
“Medan selera itu terus diperindah dengan cat baharu dan dipasang payung berwarna-warni serta pembaikan bahagian bumbung yang dicat biru,” katanya.
Sebelum ini, keadaan Medan Selera Menara Condong yang usang serta kotor sehingga mencemarkan pemandangan disiarkan akhbar ini baru-baru ini.
Ia kini sudah bertukar wajah.
Atas inisiatif MPTI, medan selera itu khususnya lorong belakang bangunan di situ sudah dinaik taraf dan diperindahkan dengan hiasan berpuluh-puluh payung berwarna-warni, sehingga menjadi tarikan pelancong.
Suasana di lorong itu sudah jauh berubah, daripada lorong yang kotor dan berbau busuk, kini ia menarik sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu sehingga ada yang tidak melepaskan peluang bergambar dan berswafoto di situ.
Sumber: Utusan
RM4 juta naik taraf, ganti kayu Menara Condong
Comments