top of page

RM250 juta naik taraf LTSAS



https://www.evolusibina.com/berita

GOPENG - Projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh yang merangkumi lima aspek bakal melibatkan kos antara RM200 juta ke RM250 juta.


Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, aspek itu termasuklah kerja-kerja memanjangkan landasan dari 2km kepada 2.4km, pembinaan jejantas, menara kawalan dan bahan api serta kemudahan kargo.


"Terminal ini juga akan ditambah baik dengan mengasingkan balai berlepas dan ketibaan, keadaan sekarang agak mengelirukan kerana menggunakan balai yang sama.


"Malah kita juga akan menambah kedai-kedai jualan di dalam lapangan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak masjid baru di Kampung Changkat Larang, Lahat hari ini.


Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf berkenaan dijangka dapat dimulakan tahun depan dan siap dalam tempoh dua tahun setengah.


Katanya, dengan penambahbaikan yang dilakukan itu, kerajaan negeri menyasarkan jumlah kehadiran pelancong menerusi laluan udara meningkat daripada 400,000 orang kepada dua juta.


"Pelaksanaan projek ini tidak akan menjejaskan operasi harian lapangan terbang dan sambungan landasan juga tidak melibatkan kediaman penduduk.


"Matlamat kita adalah untuk menjadikan LTSAS ini menjadi lapangan terbang dalam bandar yang membolehkan pelancong dari bandar Ipoh dapat sampai ke lapangan terbang dalam tempoh 10 minit sahaja," katanya.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page