PUTRAJAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) membelanjakan RM73.45 juta setakat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi tujuan penyelenggaraan Jalan Persekutuan seluruh negara termasuk membaiki jalan raya berlubang.
Peruntukkan itu sebahagian RM217.8 juta yang diperuntukkan kerajaan menerusi peruntukan 'MyJalan' bagi kerja-kerja berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, selain itu peruntukkan berkenaan membabitkan penyelenggaraan perabot jalan seperti tiang lampu, papan tanda dan pembahagi jalan.
"Sebanyak 2,950 jalan berlubang sudah dibaiki sehingga 30 Jun lalu, jenis perabot jalan yang diselenggara adalah 'guardrail' (penghadang), papan tanda, garis jalan yang pudar, longkang dan pembetungan serta kerja pemotongan pokok.
"KKR sedang merangka kempen MyJalan merangkumi usaha mengatasi pelbagai isu utama seperti jalan, lampu jalan, perabot jalan dan sebagainya.
"Kita mahu berkempen berorientasikan tindakan berlandaskan konsep 'action speaks louder than words'," katanya selepas meninjau Pelaksanaan Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) di Plaza Tol Putrajaya, di sini, petang tadi.
Beliau berkata bagi memudahkan aduan berkenaan jalan rosak dibuat, KKR sedang menaik taraf dan menambah baik aplikasi khas untuk sistem aduan sedia ada.
"Aplikasi itu dapat memberikan di mana lokasi tepat isu jalan rosak yang dihantar oleh pengadu," katanya.
Mengulas lanjut kempen MyJalan, Nanta Linggi berkata ia untuk meningkatkan penglibatan semua pihak terutama pemain industri, agensi kerajaan dan swasta serta rakyat sendiri dalam usaha menjaga jalan raya dan infrastruktur yang berkaitan.
"Aduan awam juga digalakkan dan kementerian sedang berusaha menyediakan satu saluran aduan one stop center yang dapat memudahkan serta melancarkan proses aduan, ia akan dilancarkan juga melalui kempen ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
RM217.8 juta peruntukan baiki Jalan Persekutuan - Nanta Linggi
Komentáře