top of page

RM2.89 juta bina dan naik taraf sekolah di Tanjong Manis



KUALA LUMPUR, 17 Okt: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperuntukkan sebanyak RM2.89 juta dalam Belanjawan 2024 untuk melaksanakan 12 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah-sekolah di Parlimen Tanjong Manis.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kemudahan pendidikan yang lebih baik dan selamat bagi pelajar di kawasan tersebut.


“Agihan peruntukan dan perbelanjaan projek-projek ini dibuat berdasarkan prestasi pelaksanaan projek di tapak. Setakat 30 September 2024, sebanyak RM212,300 telah dibelanjakan untuk kerja-kerja awalan, termasuk siasatan tanah dan kerja ukur oleh agensi pelaksana,” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan di laman web rasmi Parlimen Malaysia.


Beliau menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab mengenai jumlah peruntukan untuk membina sekolah baharu dan menaik taraf sekolah daif di Parlimen Tanjong Manis dalam Belanjawan 2025 serta jumlah peruntukan untuk tahun 2024 dan jumlah yang telah dibelanjakan sehingga kini.


Selain itu juga katanya, KPM juga telah mengemukakan permohonan perolehan tanah untuk tapak projek pembinaan sekolah di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), rolling plan 5 (RP5), dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta.


Peruntukan ini diharap dapat mempercepatkan usaha pembinaan dan naik taraf sekolah-sekolah daif di kawasan luar bandar, sekaligus meningkatkan mutu pendidikan serta memberi manfaat kepada ribuan pelajar di Parlimen Tanjong Manis.


Sumber: TVS

Comments


bottom of page