Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM2.47 bilion oleh kerajaan bagi 2024 untuk pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dilihat boleh membantu keperluan perumahan rakyat berpendapatan rendah.
Pensyarah Program Pengurusan Harta Tanah dan Perlelongan, Fakulti Perniagaan, International University Malaya-Wales (IUMW), Prof Sr Dr Noor Rosly Hanif berkata, bagaimanapun bentuk pelaksanaannya perlu dibincang dan dikaji dengan teliti.
Katanya, ini berikutan pelaksanaan PPR perlu membabitkan banyak pihak terutamanya kerajaan negeri.
"Jika perancangan dilaksanakan tanpa ketirisan dan tanpa proses yang membebankan, sebanyak 25,000 unit rumah boleh disediakan untuk tujuan ini.
"Penentuan sama ada rumah ini disedikan untuk sewaan sahaja, atau sewaan untuk pemilikan atau penjualan terus perlu dibuat berdasarkan kepada keupayaan kewangan rakyat.
"Dicadangkan peruntukan ini diberikan mengikut keutamaan negeri yang rakyatnya amat perlu kepada perumahan asas," katanya.
Menurutnya, pada masa ini terdapat ramai rakyat yang menjadi mangsa ekonomi, terpaksa menyewa bilik sahaja di bandar besar seperti di Lembah Klang.
Beliau berkata, rumah tiga bilik yang diubahsuai menjadi lima bilik untuk disewakan sepatutnya perlu dibanteras.
"Mereka yang menyewa sedemikian ini adalah golongan miskin bandar dan hendaklah diberi keutamaan dalam projek perumahan ini.
"Jelas, ini adalah senario terkini masalah penyewaan perumahan bandar bagi golongan muda yang perlu perhatian kerajaan," katanya.
Sumber: Harian Metro
RM2.47 bilion laksanakan projek PPR
Comments