KUCHING: Sejumlah RM150 juta diperuntukkan kerajaan Sarawak kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menangani masalah banjir kilat di kawasan bandar raya ini.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Hilmy Othman, berkata projek tebatan banjir itu antara langkah jangka panjang yang dirangka JPS untuk melaksanakan projek tebatan banjir di beberapa lokasi antaranya Taman Sejoli, Taman Murni di Petra Jaya danHospital Umum Sarawak (HUS).
Beliau berkata, beberapa kawasan lagi masih dalam penelitian antaranya di Hotel Merdeka Palace (Padang Merdeka) yang mengalami masalah banjir kilat berlarutan.
"Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukkan itu kepada JPS untuk membantu DBKU dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengatasi masalah banjir kilat dalam kawasan pentadbiran dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Khas DBKU Bersama Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di Pengkalan Sapi, di sini, hari ini.
Mengenai banjir kilat yang melanda beberapa di bandar raya ini Ahad lalu, Hilmy berkata, ia berlaku akibat hujan lebat luar biasa.
"Sebenarnya sistem perparitan di kawasan pusat bandar raya sudah dinaik taraf dengan kemampuan menampung hujan bawah 100 milimeter (mm).
"Tetapi apa yang berlaku Ahad lalu ialah hujan terlalu lebat sehingga 150mm dan berlaku dalam tempoh agak lama bermula jam 6 pagi hingga 11 pagi.
"Itu yang menyebabkan sistem perparitan tidak mampu menampung menyebabkan berlakunya limpahan air terutamanya di Jalan Masjid, Padang Pasir selain di HUS," katanya.
Menurutnya, pihaknya juga mengambil langkah segera menyelenggara sistem 'storm water' di Limbungan Brooke yang berdekatan Jalan Masjid dan Padang Pasir (berdepan Masjid Bahagian Kuching).
"Sebaik sistem itu dibaiki, banjir kilat di beberapa kawasan di pusat bandar raya mulai surut," katanya.
Katanya, banjir kilat yang berlaku di Metro City, Matang Jaya pula berikutan projek penyelenggaraan sistem perparitan dari kawasan komersil itu ke bulatan e-Mart.
"Memang tidak pernah berlaku banjir kilat di Metro City sebelum ini. Ahad lalu air melimpah dari sistem perparitan yang sedang diselenggara itu.
"Projek berkenaan dijangka siap hujung bulan ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
RM150 juta untuk laksana projek atasi banjir kilat di Kuching
Comments