top of page

RM10 juta bina stadium e-sukan baharu


Gambar hiasan

SEBANYAK RM10 juta daripada keseluruhan RM20 juta yang diperuntukkan bagi pembangunan ekosistem e-sukan menerusi Belanjawan 2025 akan digunakan untuk pembinaan stadium e-sukan baharu.


Menurut Timbalan Perdana Menteri, pembinaan stadium e-sukan baharu itu bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan lagi pembangunan industri berkenaan pada masa hadapan.


“Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dalam ucapan pada Belanjawan lepas (18 Oktober), beliau telah umumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk e-sukan.


“Daripada jumlah berkenaan, RM10 juta akan digunakan untuk dibangunkan stadium khusus buat e-sukan manakala bakinya adalah untuk latihan dan juga aktiviti lain berkaitan dengan e-sukan,” ujar beliau.


Terdahulu, Anwar pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dalam industri e-sukan, Sarawak telah mengambil langkah ke hadapan dengan membina Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) bagi pembangunan sukan itu.


“Langkah yang diambil oleh kerajaan Sarawak juga boleh dicontohi Johor memandangkan e-sukan tidak hanya dilihat sebagai sukan permainan dalaman semata-mata, bahkan boleh dijadikan sebagai punca pendapatan.


“Semua pihak perlu memanfaatkan ekosistem e-sukan yang semakin berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 12.6 peratus.


“Industri e-sukan berpotensi besar untuk dikembangkan melalui program khas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk kemahiran seperti kewartawanan dan pengulas, produksi penyiaran, pengurusan pasukan, kejurulatihan, penganjuran acara dan kerja-kerja teknikal,” ujarnya.


Sumber: Wilayah Ku

Comments


bottom of page