LIPIS: Projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bernilai RM1 bilion antara Karak ke Simpang Pelangai bakal dibina selepas reka bentuk laluan jajaran itu siap menjelang Ogos ini.
Timbalan Menteri kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam peringkat menyediakan reka bentuk jajaran laluan berkenaan bermula dari Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) ke Simpang Pelagai kira-kira sejauh 30 kilometer.
"Selepas reka bentuk siap, JKR akan membawa kepada pengetahuan kerajaan negeri dan kemudiannya dibentangkan menjelang Bajet 2024 penghujung tahun ini.
"Perancangan projek ini perlu dilakukan secara teliti memandangkan ia membabitkan kos tinggi serta manfaat tempoh jangka panjang bagi pengguna jalan raya," katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam sekitar dan Teknologi Pahang, Datuk Seri Johari Harun, supaya kerajaan menyambung jalan raya di bawah projek LTU antara Karak ke Simpang Pelangai dalam kawasan Bentong.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan menerusi JKR juga dalam perancangan menyambung projek LTU antara Simpang Pelangai di Bentong melalui Negeri Sembilan ke Johor Bharu selepas projek LTU Karak - Simpang Pelangai dibina.
"Kerajaan perlu mengambil masa untuk projek LTU yang bersambung ke Simpang Pelangai untuk menyelesaikan projek sama dari Bentong-Raub-Lipis dan berakhir di Kota Bahru dalam tempoh dua tahun ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments