top of page

RM1.5 juta untuk baikpulih benteng ombak dekat Jambatan Angkat


RM1.5 juta untuk baikpulih benteng ombak dekat Jambatan Angkat Berita Harian www.bharian.com.my
Ahmad Amzad (kanan) dan Ir Steven (kiri) meninjau kawasan runtuhan benteng ombak berhampiran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar

KUALA NERUS: Kerja pembaikan benteng ombak berhampiran Jambatan Angkat di sini yang runtuh akibat banjir dan fenomena air pasang besar baru-baru ini dianggar membabitkan kos RM1.5 juta.


Runtuhan benteng ombak berhampiran lokasi ikon Terengganu itu adalah kali kedua berlaku selepas kejadian pertama Oktober lalu.


Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata kerja menambak runtuhan benteng penghadang ombak perlu dilakukan segera bagi mengelak hakisan lebih besar berlaku.


"Kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk kerja-kerja menambak runtuhan yang berlaku Oktober lalu.


"Runtuhan benteng penghadang ombak yang berlaku disebabkan fenomena air pasang besar baru-baru membabitkan kawasan lebih besar iaitu kira-kira 80 meter," katanya ketika meninjau runtuhan benteng ombak di Hulu Takir, hari ini.


Yang turut hadir Jurutera JPS Daerah Kuala Terengganu, Ir Steven Poh Tze Wei.


Mengulas lanjut, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi, berkata projek Jambatan Angkat yang dibina pada 2014 dan mula digunakan pada 2019 membabitkan peruntukan RM248 juta, dalam proses diserahkan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kepada kerajaan negeri.


Katanya, runtuhan benteng penghadang ombak yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari Jambatan Angkat turut memusnahkan laluan pejalan kaki dan tiang lampu.


"Kita akan menghubungi Unit Perancang Ekonomi (UPEN) dan JPS pusat agar meluluskan segera peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja penambakan di kawasan runtuhan.


"Kerja penambakan dan membina semula benteng penghadang ombak boleh dilakukan segera, tetapi bergantung kepada peruntukan," katanya.


Ahmad Amzad juga mengesahkan runtuhan penghadang ombak tidak menjejaskan struktur Jambatan Angkat dan selamat digunakan.


Ahmad Amzad juga meminta pengunjung agar tidak menghampiri kawasan runtuhan bagi mengelakkan berlakunya kecederaan berikutan pergerakan tanah masih berlaku.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page