JOHOR BAHRU: Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk melaksanakan kerja-kerja mengecat di bawah projek Pengindahan Bandaraya Johor Bahru 'The Greater Johor Bahru'.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni bin Md Shukor, berkata kerja mengecat bermula sejak awal bulan ini membabitkan kerja-kerja awal dan dijangka akan selesai pada Mac tahun depan.
Katanya, kerja-kerja mengecat ini akan dilaksanakan secara berfasa membabitkan lima zon utama dengan 410 premis perniagaan.
Zon satu membabitkan 107 premis, zon dua (128 premis), zon 3 (77 premis), zon empat (63 premis) dan zon lima (35 premis).
"Projek itu bagi mengindahkan premis lama di sekitar Bandaraya Johor Bahru membabitkan bangunan milik individu.
"Antara bangunan yang terbabit ialah di Jalan Ibrahim, Jalan Dhoby, Jalan Tan Hiok Nee, Jalan Trus, Jalan Pahang, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Ungku Puan, Jalan Meldrum, Jalan Seget, Jalan Siew Nam,Jalan Siu Chin, Jalan Ngee Heng dan Jalan Wong Ah Fook," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mohd Jafni berkata idea mengecat dan mengindahkan bangunan di Pusat Bandar Johor Bahru adalah cetusan, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika Program Johor Bersih pada 2 Julai lalu.
"Tujuan pengindahan ini bukan sahaja untuk bangunan kelihatan cantik dan indah, tetapi juga bagi memberi persepsi baik dan menjadi tarikan kepada pelancong apabila tiba di Bandaraya Johor Bahru.
"Kerja mengecat dan pengindahan ini juga adalah salah satu inisiatif 'The Greater Johor Bahru' yang bukan sahaja menaik taraf kemudahan tetapi juga pengindahan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments