top of page

RM1.287 juta kos perkukuh benteng



Sekinchan: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) sudah melaksanakan projek kawalan hakisan dan memperkukuh benteng di Pantai Batu 23, Sungai Nibong, di sini, dengan kos RM1.287 juta.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Selangor, Izham Hashim berkata, projek itu sudah bermula pada 20 Jun lalu dan dijangka siap 20 Mei tahun depan.


"Projek itu adalah penambahbaikan membabitkan struktur pengukuhan benteng pantai (rock revetment) sepanjang 18 meter.


"Sebelum ini, JPS sudah membina tembok konkrit sepanjang 25 meter di tapak sedia ada sejak 2016 dengan kos sebanyak RM 20,000 dan projek kawalan hakisan ini adalah inisiatif tambahan diambil untuk mengatasi banjir kilat akibat air pasang besar," katanya kepada Harian Metro.


Semalam Harian Metro melaporkan keluhan peniaga di kawasan pelancongan Pantai Batu 23, Sungai Nibong, di sini yang terpaksa berdepan banjir kilat akibat fenomena air pasang besar saban tahun.


Bukan sahaja terpaksa menutup premis, malah kawasan persekitaran juga turut dipenuhi lumpur dan sampah sarap apabila banjir surut.


Difahamkan, kawasan pelancongan itu terdedah kepada risiko fenomena air pasang besar sehingga lima kali setahun.


Izham turut mengingatkan peniaga dan penduduk di kawasan terbabit supaya berwaspada dan peka dengan fenomena air pasang besar, khususnya yang akan berlaku pada 17 hingga 20 Oktober ini.


"Pihak berwajib akan sentiasa memantau dan memberi makluman awal kepada anggota masyarakat," katanya.


Dalam perkembangan sama, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri sudah selesai melaksanakan Kajian Keberkesanan Benteng Pantai Selangor Ke Atas Perubahan Aras Laut pada tahun lalu.


"Kajian ini dibuat bagi menilai keutuhan benteng pantai sedia ada di sepanjang garis pantai yang dikenal pasti di Selangor dan merangka pelan induk yang komprehensif dan bersepadu bagi pengurusan fenomena banjir pantai.


"Berdasarkan kajian itu, Selangor mempunyai panjang pantai sepanjang 492.1 kilometer yang meliputi lima daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.


"Daripada keseluruhan pantai tersebut, sepanjang 198.87 kilometer telah dilindungi dengan ban pantai dengan perincian Sabak Bernam (59.22 kilometer), Kuala Selangor (60.44 kilometer), Klang (58.82 kilometer), Kuala Langat (12.55 kilometer) dan Sepang (7.84 kilometer)," katanya.


Bagaimanapun, katanya, terdapat jajaran pantai yang memerlukan kerja-kerja menaiktaraf dan pembinaan ban baru.


"Berdasarkan anggaran awal, kos yang diperlukan bagi menaiktaraf keseluruhan jajaran di Selangor adalah sebanyak RM292 juta yang mana terdapat jajaran yang memerlukan pembaikan segera dan terdapat jajaran yang perlu dinaiktaraf sebagai penyelesaian jangka masa panjang," katanya.


Sumber: Harian Metro

Comments


bottom of page