top of page

RM1.2 Juta Laksana Projek Rangkaian Gentian Optik Tanjung Gahai


Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal ketika hadir lawatan tapak Projek Fiber-To-The-Home (FTTH) dan taklimat status pelaksanaan pelan JENDELA Negeri Pahang oleh MCMC di Maahad Tahfiz Ar-Rushd, Tanjung Gahai, di sini hari ini.

LIPIS, 28 OKTOBER 2024 : Sejumlah peruntukan RM1.2 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Projek Rangkaian Gentian Optik Tanjung Gahai di Lipis melibatkan kerja-kerja talian dari Sungai Koyan lebih 12 kilometer dan pemasangan lebih 300 tiang.


Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, projek ini melibatkan rangkaian talian tetap dan internet berkelajuan tinggi bagi 80 premis membabitkan rumah, balairaya, dewan sekolah, klinik kesihatan dan sebagainya yang dapat dihubungkan menerusi Unifi.


Projek ini telah bermula pada Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2024.


“Saya difahamkan nanti capaian akan mencapai 2GB maknanya tidak ada beza capaian di Tanjung Gahai dengan akses dan kapasiti seperti di bandar.


“Jadi saya ucap terima kasih banyak-banyak kepada TM (Telekom Malaysia) dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) di atas usaha ini dan sebenarnya ini adalah bagi memenuhi keperluan penduduk di sini dan juga permintaan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail agar penduduk di Tanjung Gahai ini dirangkaikan dengan internet berkelajuan tinggi, khususnya Unifi itu sendiri,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pemasangan tiang Distributor Port (DP) yang menghubungkan kabel optik di bawah Projek Rangkaian Gentian Optik Tanjung Gahai.


Hadir sama ialah Pengurus Besar Perniagaan TM Wilayah Timur, Tuan Haji Maliki Harun, Pengarah MCMC Negeri Pahang, Encik Shahrizal Husin, Ketua Pegawai Operasi Koridor Utiliti Pahang (KUP), Ir. Ts. Mohd Sably Mohd Latiff dan Ketua Pejabat Wilayah Timur TM, Encik Mohd Fairus Muhamad.


Tambahnya, projek ini juga akan memberi manfaat kepada seluruh penduduk dari sudut pendidikan, kerjaya dan peluang ekonomi (berniaga atas talian).


Jelasnya, sinergi usaha sama dan tindakan pantas daripada TM dan MCMC ini seharusnya dapat diteruskan dengan agensi-agensi lain.


“Saya berpuas hati atas kerjasama dengan pihak TM dan MCMC sebab setakat ini setiap report atau permintaan dari pihak Kerajaan Pahang dan rakyat cuba diselesaikan dengan cepat jadi sinergi kerjasama seperti ini sangat penting sebab kesan langsung dan manfaat terus kepada rakyat dan harap dapat kerjasama daripada agensi-agensi lain seperti ini juga,” katanya.


Sumber: Pahang Media

Comments


bottom of page