SEBANYAK lima projek berkaitan River of Life (RoL) telah dibatalkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) kerana kurang signifikan dalam mencapai objektif pelaksanaan projek berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia merupakan antara 12 projek RoL yang diteliti jabatan itu yang masih dalam peringkat pra pelaksanaan.
Menurutnya, penelitian dilakukan agar hanya projek-projek yang signifikan akan diteruskan.
“Daripada jumlah itu, tujuh projek lagi akan diteruskan agar objektif awal projek RoL iaitu pengindahan dan pembersihan sungai dapat dicapai.
“Proses perolehan sedang disediakan oleh agensi-agensi berkaitan supaya projek berjalan dengan lancar dan risiko-risiko pelaksanaan projek diambil kira sepenuhnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau mernjawab soalan mengenai tindakan susulan terhadap 12 projek River of Life masih dalam peringkat pra pelaksanaan, seperti mana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Dr Zaliha memberitahu, RoL merupakan salah satu projek permulaan (EPP) di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.
Projek itu katanya, bertujuan untuk mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang kepada sebuah ikon yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi yang tinggi.
“RoL terdiri daripada tiga komponen utama iaitu pembersihan dan pengindahan sungai serta pembangunan tanah.
“JWP bersama agensi pelaksana sentiasa komited agar pelaksanaan projek yang telah digariskan dalam RoL menepati objektif awal yang telah ditetapkan.
“Kerjasama daripada semua pihak bagi mengimbangi kelestarian kebersihan dan keindahan sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang amat diperlukan bagi menjayakan hasrat Sungai Nadi Kehidupan,” katanya.
Sumber: Wilayah Ku
Comentários