top of page

Rita rumah anti gempa: Al Ansar IBS beri sinar baharu buat mangsa gempa Lombok


Rumah contoh Rita yang dibina di Lombok

GEMPA bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda bumi Lombok, Indonesia pada 5 Ogos tahun lalu pastinya tidak boleh dilupakan. Bencana alam itu telah memusnahkan puluhan ribu binaan termasuk rumah, masjid dan premis perniagaan.


Ratusan mangsa terkorban manakala puluhan ribu yang lain mengalami kecederaan. Dalam masa, hampir 400,000 penduduknya kehilangan tempat tinggal.


Susulan itu, mangsa terpaksa tidur di dalam khemah atau di pusat perlindungan.Dianggarkan, tujuh trilion rupiah (RM1.96 bilion) diperlukan bagi kos pembangunan semula di kawasan berkenaan.


Justeru, syarikat Bumiputera Al Ansar IBS yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pembinaan rumah, turut berkongsi kepakaran membina semula kehidupan penduduk Lombok.


Idea bina rumah segera

Pengerusi Eksekutif Al Ansar IBS, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, idea pembinaan Rumah Instant Tahan Gempa (Rita) bermula dari nahas gempa yang berlaku di Lombok, Indonesia pada Ogos tahun lepas.

“Akibat gempa tersebut hampir semua kediaman penduduk hancur menyembah bumi. Kerajaan Indonesia membuka peluang kepada kontraktor pembinaan untuk membina rumah tahan gempa, dan Al Ansar IBS menjadi satu-satunya kontraktor asing yang terpilih.


“Menjadi tanggungjawab kami untuk membina rumah yang lebih selamat diduduki walaupun hanya mempunyai satu bilik dengan anggaran harga RM17,000 seunit,” katanya kepada Sinar Harian. Katanya, kerajaan Indonesia menyediakan insentif sebanyak 50 juta rupiah iaitu antara RM15,000 hingga RM17,000 bagi pembinaan satu unit rumah anti gempa.


Teknologi spring ilham Jepun

Muhamad Khanafi berkata, Rita yang dibina dengan keluasan kira-kira 20 kaki persegi turut dilengkapi dengan satu bilik tidur, bilik air, ruang tamu dan dapur.


“Bagi pembinaan 3,000 unit kediaman Al Ansar IBS menggunakan teknologi spring yang diilhamkan dari Jepun.


“Penyelidikan dan pembangunan produk dilakukan dalam tempoh tiga bulan dengan kerjasama dari universiti tempatan dan pakar gempa di Indonesia,” katanya.


Menurutnya, Fakulti Seni Bina Perancangan, Universiti Teknologi MARA, di Seri Iskandar, Perak; Kementerian Riset Teknologi dan Pendidikan Tinggi Universitas Mataram Indonesia terlibat melakukan pemeriksaan serta ujian ketahanan rumah terhadap bencana gempa.


“Hasil ujian menunjukkan Rita mampu bertahan dalam keadaan gempa sehingga bacaan 9 skala ritcher. Apabila berlaku, hanya struktur luaran rumah sahaja yang terjejas dan peluang untuk ia dibaiki masih tinggi.


“Bagaimanapun, kita tidak menjamin bahawa rumah tidak akan roboh. Namun dengan teknologi ini, ia mampu mengurangkan kerosakan sehingga 25 peratus,” katanya.

Katanya, dinding rumah mungkin boleh pecah dan barangan yang tergantung pada dinding boleh terjatuh ketika gempa berlaku.


“Atas sebab itu penghuni dinasihatkan agar segera keluar dari rumah sekiranya berlaku gempa bumi demi keselamatan diri dan mengurangkan risiko kematian akibat di hempap barangan,” katanya.


Struktur rumah guna IBS

Kerajaan Indonesia amat menitikberatkan struktur rumah tahan gempa yang dibina.


Teknologi spring yang diluluskan melalui ujian makmal akan dipasang pada setiap lapan tiang utama rumah.


Penggunaan spring ini mampu menahan gempa bumi sama ada ia berlaku secara horizontal atau vertikal.


Selain pemasangan spring kepada kesemua lapan tiang utama rumah, pembinaan Rita menggunakan struktur C-Channel dan atap bumbung zink.


Spring itu pula hanya perlu diselenggara setiap enam hingga 12 bulan setahun dengan menggunakan penyembur anti karat dan ia mampu bertahan sehingga 30 tahun.


Muhamad Khanafi berkata, rumah Rita turut dilengkapi loceng yang akan berbunyi apabila berlakunya gempa bumi.


Katanya, penghuni perlu segera keluar dari rumah dan mendapatkan perlindungan apabila loceng berbunyi.


“Selain itu, struktur rumah dibina menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) inovasi dan struktur keluli manakala bahagian luar rumah pula menggunakan smart wood.“Sekiranya berlaku kebakaran ia akan mengambil masa kerana rumah Rita yang dibina mempunyai ciri tahan api, angin dan ribut,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, rumah Rita tidak direka untuk menahan struktur bangunan sekiranya berlaku bencana tsunami seperti yang melanda Acheh 14 tahun lalu.


Bantu tingkat ekonomi penduduk

Muhamad Khanafi berkata, bagi memastikan projek ini memberi tambah nilai kepada penduduk Lombok, setiap kontraktor perlu dapatkan bahan binaan dari kilang di sana termasuk tenaga buruh.


Katanya, ia merupakan satu syarat yang ditetapkan kerajaan Indonesia kepada kontraktor bertujuan untuk membantu meningkatkan ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk Lombok.


“Bagaimanapun, bagi bahan utamanya iaitu spring, kita terpaksa mendapatkan bekalan dari kilang di luar Lombok seperti di Jakarta,” katanya.

“Alhamdulillah, kerjasama yang diberikan amat baik memandangkan di Lombok ramai yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan rumah. Rumah Rita mampu disiapkan dalam tempoh 14 hari sahaja,” katanya.


Namun, beliau berkata, Al Ansar berdepan dengan cabaran sendiri apabila setiap tapak rumah yang dibina adalah berbeza kerana permukaan tanahnya ada yang berpasir dan berbukit.


“Isu permukaan tanah ini perlu diselesaikan dahulu sebelum kerja pembinaan dijalankan. Kita juga perlu membersihkan kawasan dipilih kerana ia membabitkan tapak asal rumah berkenaan.


“Tidak seperti di negara lain, apabila berlaku bencana penduduk akan ditempatkan di penempatan baharu. Tetapi di Lombok rumah perlu dibina di tapak asal rumah mereka sendiri. Tambahan pula teknologi yang digunakan ini tidak sesuai untuk rumah jenis teres,” katanya.


Menurut Khanafi, projek pembangunan sudah pun dimulakan April lalu. Dijangka 3,000 unit rumah dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini.


“Syarikat mampu menyiapkan tambahan 7,000 unit lagi, menjadikan keseluruhan 10,000 unit kediaman baharu.


Keseluruhannya, sebanyak 75,000 unit kediaman baharu perlu dibina di kawasan bencana yang membabitkan pelbagai syarikat kontraktor di Indonesia,” katanya.


Menurutnya, selain di Lombok, infrastruktur yang digunakan juga terpakai di seluruh Indonesia.


Fokus bina banglo mampu milik

Al Ansar yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pembinaan rumah menggunakan IBS sejak 2016 turut mempunyai kilang penghasilan produk IBS sendiri.


Konsep pembangunan banglo mampu milik amat sesuai dan menjadi alternatif utama ketika ini.


Ia amat popular dalam kalangan penduduk disebabkan kemampuan beli hartanah masyarakat adalah terhad dan harga rumah yang ditawarkan amat tinggi.


Justeru, Muhamad Khanafi berkata, menjadi tanggungjawab Al Ansar sebagai pemaju Bumiputera untuk memberi alternatif kepada masyarakat bagi memiliki kediaman banglo pada harga mampu milik.


“Pembangunan projek seperti ini diyakini mampu menaikkan nilai tambah hartanah selain memberi peluang kepada golongan pertengahan Bumiputera membeli serta memiliki aset hartanah pada harga mampu milik,” katanya.


Bagi tahun ini, beliau berkata, Al Ansar menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM15 juta dengan 30 peratus disumbangkan oleh projek pembinaan Rumah Instant Al Ansar (Ria).


Tambahnya, pihaknya juga menyasarkan GDV RM51 juta bagi projek pembinaan Rita di Lombok, menjadikan GDV keseluruhan berjumlah RM66 juta.


Pada 2018, Al Ansar berjaya memperoleh GDV bernilai RM5 juta dengan 70 peratus disumbangkan oleh pembinaan rumah banglo IBS jenis Teratai.


Selain pembinaan rumah, syarikat berkenaan turut menawarkan pembelian produk IBS seperti interlocking bricks, interlocking blocks dan bumbung atap gajah kepada kontraktor dan individu yang ingin membina rumah sendiri di samping memberi latihan baharu IBS.


Sumber: Sinar Harian


17 views

Comments


bottom of page