top of page

Residensi MADANI dinanti



YANG Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Wilayah Persekutuan, Datuk Amran Mohamad berpandangan projek perumahan mampu milik Residensi MADANI Putrajaya sangat dinanti-nantikan oleh rakyat terutama yang tinggal di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.


Beliau yang juga pakar perumahan amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI yang berusaha keras untuk mempercepatkan pembangunan rumah mampu milik bagi golongan B40 serta M40.


“Kadar harga rumah RM200,000 berkeluasan 800 kaki persegi dengan pelbagai kemudahan lengkap seperti yang dicadangkan di sekitar Putrajaya amat munasabah dan sangat dinantikan oleh rakyat.


“Adalah diharapkan rumah mampu milik ini perlu pemantauan yang rapi dari pihak kerajaan dan pemaju supaya perumahan yang dibina mengikut spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan dengan masa yang diberikan,” katanya.


Mengulas lanjut, Amran berkata kumpulan sasaran yang membeli unit rumah perlu disaring dengan teliti supaya hanya pembeli yang layak sahaja terutama permohonan rumah pertama dapat menikmatinya.


Beliau berkata adalah diharapkan pihak bank dapat memberi kelonggaran untuk meluluskan permohonan kewangan terutamanya mereka yang mendapatkan kenaikan gaji minimum baru-baru ini.


“Pihak bank juga perlu memberi kelonggaran kepada golongan pekerja swasta untuk sama-sama menikmati rumah mampu milik,” katanya.


Sementara itu, menurut Amran beliau menyokong sepenuhnya pembinaan projek perumahan rakyat Residensi MADANI.


Beliau berkata keperluan rumah untuk penduduk miskin bandar perlu dibina supaya ia tidak hanya dinikmati oleh golongan elit serta masyarakat yang sudah lama berada di kawasan tersebut.


“Faktor kepadatan penduduk serta kekurangan kemudahan awam tidak boleh dijadikan alasan Perumahan MADANI tidak dapat dibina. Perlunya penambahbaikan kawasan sekitar serta reka bentuk rumah yang bersesuaian mengikut keadaan tempat tersebut dengan bantuan pemaju serta pihak-pihak majlis tempatan.


“Penduduk di sekitar perlu berkerjasama serta bertolak ansur untuk membantu kerajaan supaya golongan miskin juga dapat memiliki rumah sendiri,” katanya.


Sebanyak 4,000 unit Residensi MADANI Putrajaya dijangka siap dibina menjelang tahun 2028.


Terdahulu, menurut Perdana Menteri objektif utama projek pembangunan Residensi MADANI Putrajaya adalah untuk menyediakan Perumahan Mampu Milik dalam kategori kos sederhana rendah di Wilayah Persekutuan.


Sumber: WilayahKu

コメント


bottom of page