top of page

Rancang bina lebuh raya Seremban-Kemayan


Kerajaan Persekutuan bercadang membina lebuh raya dari Seremban ke Kemayan di Pahang. - Gambar hiasan NSTP

KUALA PILAH: Kerajaan Persekutuan merancang membina lebuh raya dari Seremban ke Kemayan di Pahang, bagi memudahkan pengguna ke pantai timur.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith, berkata laluan berkenaan penting untuk membantu pengguna menuju ke pantai timur yang berdepan kesesakan dan terdedah kepada kemalangan.


"Selain dapat meredakan aliran trafik di laluan sedia ada, laluan berkenaan juga mampu memendekkan jarak perjalanan untuk ke pantai timur.


"Buat masa ini kertas cadangan sudah ada cuma kita tidak mengetahui bila jangkaan untuk projek ini dapat dimulakan.


"Kita berharap agar projek ini diteruskan kerana ia juga dapat mempromosi produk pelancongan dan membangunkan kawasan sekitar serta ekonomi penduduk setempat," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan pengimbas haba kecerdasan buatan (AI) KipleLive oleh syarikat Green Packet Berhad, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, cadangan pembinaan lebuh raya berkenaan juga sebelum ini telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda Pemangku Sultan Pahang.


"Baginda mengalu-alukan projek pembinaan jalan raya berkenaan memandangkan laluan Seremban-Pahang berbentuk landai, berbanding jalan berbukit di sebelah Bukit Tinggi, Pahang.


"Tambahan pula laluan menghubungkan antara Seremban ke pantai timur sering kali menjadi pilihan pengguna termasuk pengguna dari kawasan Lembah Klang," katanya.



Comments


bottom of page