top of page

Rakyat semakin tidak mampu miliki rumah - MyProperty Data


Gambar hiasan: Orang ramai mengunjungi pameran perumahan salah sebuah syarikat hartanah tempatan di Shah Alam. - Foto: NSTP/ROSLIN MAT TAHIR

KUALA LUMPUR: Peningkatan ketara harga hartanah di negara ini menunjukkan bahawa jumlah rakyat yang mampu membeli rumah mampu milik berkemungkinan besar terus mengecil.


Malah, ini berlaku ketika kadar pendapatan penengah isi rumah terbukti tidak mencatat sebarang peningkatan sekali ganda sejak beberapa tahun lalu, demikian menurut MyProperty Data Sdn Bhd.


Analisis syarikat itu juga menunjukkan bahawa rumah berharga RM300,000 dan ke bawah pada tahun 2000 adalah mewakili sebanyak 86.14 peratus atau 35,226 daripada sejumlah 40,896 transaksi yang dijalankan.



Pada 2009, angka itu mencecah 65.31 peratus (42,985 daripada 65,816 transaksi) manakala pada 2019 ianya sekitar 32.37 peratus (11,173 daripada 34,518 transaksi) yang membabitkan pembeli berusia 32 hingga 35 tahun.


Ketua Pegawai Eksekutif MyProperty Data, Thor Joe Hock, berkata ini pada dasarnya menunjukkan bahawa Malaysia kini berdepan isu kemampuan memiliki rumah dan bukannya rumah mampu milik ketika inflasi terus ketara sejak kemuncak pasaran pada 2011.


"Sebagai penyedia analisis data, kami menggunakan teknologi data raya bagi meneliti lebih 5,000 pelancaran pembangunan terdahulu dan sekarang. Kami dapati pemaju hartanah ini hanya sekadar memberi reaksi kepada keadaan dan sebarang tindakan menurunkan harga rumah secara mendadak bukanlah jawapan kepada masalah itu.


"Jika tindakan itu diambil di segenap peringkat, ini akan hanya memburukkan lagi penguncupan ekonomi negara akibat kaitan berkenaan.


"Secara ringkasnya, apabila nilai rumah meningkat, pemilik terbabit akan dapat menikmati manfaat seperti dapat melakukan pembiayaan semula atau menggunakan wang berkenaan bagi tujuan ubah suai kediaman, membeli kereta dan sebagainya," katanya.


Oleh kerana tindakan menurunkan harga rumah secara mendadak dilihat sebagai mencabar, Thor berkata bagi memperbetulkan keadaan pasaran secara beransur-ansur, apa yang penting adalah memahami nilai saksama pasaran dengan memanfaatkan penggunaan data raya, khususnya bagi institusi kewangan dan pihak berkuasa berkaitan.


Malah, beliau mendakwa aspek itu lazimnya diketepikan, khususnya dalam pasaran primer.


Menurutnya, analisis ke atas lebih 5,000 pembangunan sebelum ini dan semasa menunjukkan 45 peratus daripada projek terbabit terbukti membabitkan harga yang terlalu tinggi sebanyak 10 peratus, malah ada yang mencecah sehingga 80 peratus.


Daripada jumlah itu yang diperoleh daripada rekod Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kira-kira 160 pembangunan dijadual siap pada 2021.


Joe Hock berkata, tindakan meletakkan harga terlalu tinggi itu hanya memburukkan lagi inflasi ketika pemaju lebih terarah untuk mengikuti ciri-ciri yang dipasarkan oleh projek berhampiran.


Jika ini dibiarkan, katanya, aliran tersebut akan menjejaskan lagi inflasi dan memburukkan isu kemampuan kerana harga itu telah berdasarkan harga sebelum diskaun.


Harga yang terlalu tinggi itu juga bergantung kepada sejauh mana bank melanjutkan jumlah pinjaman lebih besar berbanding nilai sebenar hartanah yang menyamai pertumbuhan ekuiti masa depan pada hari ini berbanding dalam tempoh tiga tahun hingga enam tahun.


Secara asasnya, terdapat keperluan serius untuk menilai rumah-rumah ini dengan lebih tepat dalam usaha mengawal harganya agar tidak diletakkan pada paras yang keterlaluan.


"Ini penting terutamanya dalam usaha membantu mereka dalam golongan berpendapatan sederhana, lebih-lebih lagi setelah kami dapati hartanah dalam linkungan harga RM500,000 hingga RM1.2 juta adalah terlalu tinggi khususnya di lokasi dalam Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru," katanya.


Menurut Joe Hock, pada masa ini, pembangunan baharu tidak perlu dinilai kerana tidak ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, bagi setiap jualan hartanah, jurunilai diperlukan bagi meneliti nilai rumah terbabit.


"Secara mudah, boleh dikatakan bahawa gabungan penetapan harga oleh pasaran yang bertepatan berserta pembiayaan inovatif seperti Skim Rumah Pertamaku Cagamas (SRP) akan memberi kewajaran jangka panjang.


"Ini akan turut membolehkan pertumbuhan harga mampan dan ekuiti dalam tempoh pertenagahan hingga jangka panjang," katanya.


Skim Cagamas pertama kalinya diumumkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2011 bagi membantu golongan muda yang baru menyertai pasaran kerja memiliki kediaman sendiri.


Selain itu, ia turut membantu golongan terbabit memperoleh pembiayaan sehingga 100 peratus daripada institusi kewangan tanpa dibebani keperluan untuk membayar wang pendahuluan sebanyak 10 peratus.– Bernama



Comments


bottom of page