BATU PAHAT: Sering terkesan dengan bencana banjir, penduduk di Johor berharap pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dapat dilaksanakan segera.
Pekerja kebun kelapa sawit, Mohd Suhaimi Sallehuddin, 48, berkata perancangan kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan projek tebatan banjir sangat dinanti-nantikan memandangkan kawasan kediamannya di Kampung Parit Jayus, Sri Medan di sini kerap dilanda banjir.
"Sebelum ini, kawasan berkenaan mengalami banjir hanya sekali dalam setahun iaitu sekitar bulan Oktober hingga Disember, namun sejak lima tahun kebelakangan ini banjir berlaku pada awal dan pertengahan tahun," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan Ekonom MADANi: Memperkasa Rakyat pada Khamis lalu berkata, kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir seperti di Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor demi melindungi masyarakat setempat daripada ditimpa bencana banjir.
Pada 12 Julai lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion bagi pelaksanaan projek RTB di Johor, membabitkan Lembangan Sungai Muar, Segamat, Lembangan Sungai Johor, Kota Tinggi dan Batu Pahat.
Sementara itu, seorang peniaga, Siti Nurneeza Esa, 34, berkata kejadian banjir yang berulang setiap tahun diharap dapat diatasi dan projek tebatan banjir perlu dilaksanakan sebaiknya agar bencana alam itu dapat ditangani dalam tempoh panjang.
"Saya berharap projek tebatan banjir tidak hanya bertahan dalam tempoh yang singkat sahaja, maka kajian dan penyelidikan teliti perlu dilaksanakan agar banjir ini tidak lagi berulang.
"Tahun ini sahaja, kediaman saya dua kali dinaiki air iaitu pada Januari yang kemudiannya surut beberapa hari sebelum banjir sekali lagi pada Mac malah kedalamannya melebihi dua meter. Rakyat di sini tidak mahu lagi menjadi penghuni pusat pemindahan sementara (PPS) setiap tahun," katanya.
Bagi penduduk di Parit Ahmad, Hamidin Sukiman, 25, dia menyokong usaha kerajaan untuk menyegerakan projek tebatan banjir yang dilihat dapat mengelakkan bencana dengan lebih teruk pada masa akan datang.
"Masih ramai penduduk yang trauma dengan kejadian banjir besar pada Mac lepas, malah saya sendiri risau apabila hujan lebat kerana bimbang banjir akan berulang," kata pekerja kilang itu.
Sementara itu, suri rumah di Kota Tinggi, Ngtini Karchin, 60, berkata komitmen kerajaan itu bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat malah mengurangkan kerugian akibat bencana.
"Oleh itu, kita berharap agar pihak berwajib dapat memantau pelaksanaan projek berkenaan dan menyiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, memandangkan keadaan cuaca tidak menentu," katanya.
Turut senada, Hairizal Hadman, 40, yang berharap projek tersebut dapat dilaksanakan segera agar bencana banjir yang berlaku setiap tahun di daerah Kota Tinggi dapat diselesaikan.
"Banjir yang berlaku menyukarkan pergerakan penduduk kerana terdapat laluan terpaksa ditutup sehingga mereka terpaksa melalui jalan alternatif yang lebih jauh, selain berlaku kerosakan jalan akibat bencana berkenaan," kata bapa kepada dua anak itu yang juga pekerja swasta.
Sebanyak 85,000 orang terjejas banjir besar yang melanda Johor pada Mac lepas.
Sumber: Berita Harian
Rakyat Johor harap projek Rancangan Tebatan Banjir dilaksanakan segera
Comments