KUALA LUMPUR: Perbadanan Aset Keretapi (RAC) merancang untuk membangunkan projek perumahan mampu milik di sebahagian 3,237.5 hektar tanah kereta api miliknya di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya ketika ini sedang mengenalpasti tanah-tanah milik RAC yang strategik dan sesuai untuk dibangunkan sebagai perumahan mampu milik.
Katanya, projek pembangunan itu akan ditawarkan kepada pihak swasta secara tender terbuka dan akan mula diumumkan secara berperingkat pada tahun ini.
"Buat masa ini kita belum ada sasaran (berapa peratus tanah RAC akan digunakan bagi projek rumah mampu milik), namun dari semasa ke semasa kita akan membuka tender terbuka di mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai kepada pihak swasta.
"Memang terdapat permintaan yang tinggi daripada rakyat untuk memiliki rumah di kawasan-kawasan berhampiran dengan stesen kereta api.
"Projek ini juga adalah selari dengan dasar kerajaan di mana kita mahu membina banyak rumah mampu milik dan satu aspek yang penting dengan pembinaan rumah mampu milik ini ialah ia mesti berdekatan dengan sistem pengangkutan awam sedia ada kerana kita mahu menggalakkan orang ramai memiliki rumah dan menggunakan pengangkutan awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Menara Sentral RAC di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar dan Pengurus Besar RAC, Azhar Ahmad.
Menara Sentral RAC setinggi 30 tingkat dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM125 juta itu adalah bangunan milik RAC yang pertama sejak penubuhan perbadanan itu pada 27 tahun lalu.
Ia akan dibangunkan oleh Arah Asas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh YTL Corporation Bhd, menerusi kerjasama awam swasta (PPP) yang mana Arah Asas akan ditawar sebidang tanah di kawasan bersebelahan menara itu.
Terdahulu, Azhar dalam ucapannya berkata, pembinaan menara yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun itu bakal memberi pulangan pendapatan berterusan sebanyak kira-kira RM12 juta setahun kepada perbadanan itu.
Katanya, pendapatan yang diperolehi itu membolehkan RAF menyumbang kepada pembangunan dan pembangunan semula infrastruktur dan kemudahan sektor rel di negara ini.
"Selain projek ini, RAC telah merancang beberapa lagi projek pembangunan di lokasi strategik dan berpotensi tinggi untuk dimajukan, antaranya di Jalan Sultan Salahuddin di Kuala Lumpur, Batu Tiga di Selangor dan Kempas di Johor Bahru," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments