top of page

Pulau Pinang usaha laksana empat projek air


Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek 440MLD Rumah Pam Lahar Yooi bagi membolehkan pengisian semula yang lebih pantas ketika musim hujan.

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang bersama kerajaan Persekutuan serta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang berusaha melaksanakan empat projek air tambahan bagi membantu memastikan bekalan air yang baik dan berterusan setiap hari dan sepanjang tahun di Pulau Pinang.


Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, kesemua projek itu juga pada dilihat dapat mengurangkan status tekanan air Pulau Pinang ketika musim perubahan iklim ini.


Menurutnya, empat projek itu ialah Projek Rumah Pam Lahar Yooi, Saluran paip dwi fungsi 440 juta liter sehari (JLH), Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Kerian dan TAPS Sungai Muda.


"Bulan lalu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari mengetuai delegasi kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Bekalan Air (BBA) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Sulaiman Kamisan di Putrajaya.


"Bagi semua projek itu, PBAPP perlu menyerahkan Notis Perubahan daripada kerajaan Persekutuan untuk kelulusan berikutan pihaknya sedang mengembangkan skop," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.


Beliau berkata, Projek Rumah Pam Lahar Yooi 440 JLH bertujuan bagi membolehkan pengisian semula Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) yang lebih pantas. Rumah pam ini mewakili Fasa 2C Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP).


"Ia akan dibina untuk mengepam tambahan 440 JLH air mentah dari Sungai Muda untuk mengisi semula Empangan Mengkuang (EMD) 86.4 bilion liter dengan lebih cekap semasa musim hujan.


"Rumah Pam Lahar Yooi menyokong rancangan PBAPP untuk menukar EMD daripada 'rizab kemarau strategik' kepada empangan harian dengan siapnya Loji Rawatan Air Empangan Mengkuang baharu pada tahun 2025," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.


Jelasnya, secara tidak langsung, ia juga akan memastikan pengeluaran maksimum EMD sehingga 1,040 JLH adalah mungkin dan mampan ketika senario kecemasan apabila insiden Sungai Muda mengancam perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.


"Menurut BBA, projek persekutuan untuk membina Rumah Pam Lahar Yooi telah diluluskan. Ia akan dibiayai oleh baki dana daripada peruntukan MDEP RM1.2 bilion," tambahnya.


Beliau berkata lagi, kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP sedang mendapatkan bantuan Persekutuan untuk memasang saluran paip dwifungsi 440 JLH yang baharu dari EMD ke Terusan Sungai Dua.


"Saluran paip ini diperlukan untuk menyokong operasi Rumah Pam Lahar Yooi yang dicadangkan. Di satu pihak, ia akan menyalurkan tambahan 440 JLH air mentah ke empangan semasa musim hujan.


"Selainnya, ia akan menghantar tambahan 440 JLH air daripada EMD ke Terusan Sungai Dua, untuk digunakan di Loji Rawatan Air Sungai Dua ketika senario kecemasan," katanya.


Pathmanathan menambah, dua projek TAPS pada dasarnya adalah projek mini-empangan yang dicadangkan untuk pembangunan di atau berhampiran tebing sungai Sungai Muda di Seberang Perai Utara (SPU) dan Sungai Kerian di Seberang Perai Selatan (SPS).


"Lebihan air mentah dari sungai boleh disimpan dalam TAPS. Air simpanan mungkin diambil untuk menyokong perkhidmatan bekalan air selama 24-48 jam semasa kemarau, kejadian atau senario kecemasan lain.


"Selepas itu, TAPS boleh diisi semula dengan lebihan air mentah dari sungai. Ringkasnya, dua projek TAPS ini boleh dianggap sebagai projek insurans tambahan untuk menyokong bekalan air yang baik berterusan di SPU dan SPS," katanya.


Ujar beliau, BBA telah meminta Kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP memohon pembiayaan Persekutuan bagi projek TAPS di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).


Jelas beliau, Empat (4) projek Persekutuan ini adalah projek bekalan air tambahan yang harus dilaksanakan seiring dengan RM1.184 bilion Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) Pulau Pinang dan Projek Air Perak-Pulau Pinang bernilai RM4.5 bilion.


"PBAPP akan terus melaksanakan baki enam daripada lapan projek WCP 2030 seperti yang dijadualkan sambil menyokong pelaksanaan Projek Air Perak-Pulau Pinang oleh kerajaan Persekutuan menjelang 2030.


Sumber: Sinar Harian

Comments


bottom of page