top of page

Pulau Pinang perlu gantikan projek LRT dengan BRT



GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang disaran menggantikan projek Transit Aliran Ringan (LRT) kepada sistem Transit Aliran Bas (BRT) memandangkan sistem itu dapat menjimatkan kos serta lebih sesuai bagi penduduk di pusat bandar.


Setiausaha MCA Pulau Pinang, Yeoh Chin Kah berkata, BRT dapat dibangunkan dengan kos yang lebih rendah, cepat dibina dan mempunyai liputan lebih luas daripada LRT, malah boleh menggalakkan aktiviti berjalan kaki dan berbasikal di bandar.


Jelasnya, kos kira-kira RM4.4 bilion dapat membina 426 kilometer lorong bas BRT berbanding hanya 40 kilometer untuk LRT atau 14 kilometer MRT bertingkat dengan jumlah wang yang sama.


”Lorong BRT boleh menggerakkan lebih ramai orang daripada lorong kereta yang hanya boleh menggerakkan 4,500 orang dalam tempoh sejam dalam satu arah. Tetapi lorong BRT boleh menggerakkan sehingga 10,000 orang sejam dalam satu arah,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat MCA, di sini hari ini.


Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek LRT Bayan Lepas mendapat kelulusan agensi-agensi teknikal utama seperti Jabatan Alam Sekitar serta PLAN Malaysia dan kini sedang dalam proses mengemukakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi jajaran LRT di atas projek tambakan laut selatan Pulau Pinang (PSR) termasuk depot LRT di Pulau A, PSR.


Zairil berkata, komponen LRT Bayan Lepas adalah salah satu komponen utama dalam Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang di mana ia adalah strategi jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.


Menurut Chin Kah, pembinaan sistem BRT boleh disiapkan hanya dalam tempoh setahun dan kerajaan negeri juga boleh menanggung kos projek BRT tanpa bergantung kepada Kerajaan Pusat.


”Banyak bandar di China mempunyai sistem transit pantas dengan menggunakan bas seperti Beijing, Hangzhou, Guangzhou dan lain-lain yang membawa 4.3 juta penumpang sehari dan menyelesaikan masalah kesesakan bandar. BRT juga boleh dibina dengan mempunyai fungsi LRT termasuk tempat letak kereta bertingkat, malah boleh dibangunkan dengan dilengkapi sistem untuk mengesan bilangan orang yang menunggu di setiap stesen bagi melaraskan kekerapan bas,” katanya.


Dalam pada itu, jurucakap MCA Pulau Pinang, Tang Heap Seng berkata, BRT juga boleh menggunakan tenaga elektrik yang mesra alam selain bas mini boleh dicadangkan untuk membawa penumpang dari setiap stesen BRT ke tempat tumpuan paling dekat dengan rumah kediaman penumpang.


”LRT membazir lebih banyak tenaga dan lebih bising, sebaliknya pengangkutan percuma bagi warga emas, orang kurang upaya dan pelajar boleh disediakan oleh BRT dengan mudah,” katanya.


Sumber: Utusan

Comments


bottom of page