top of page

Pulau Kapas perlu tambahan infrastruktur


MARANG: Pulau Kapas yang terletak kira-kira enam kilometer dari jeti Marang mempunyai keindahan tersendiri hingga mampu memukau setiap pengunjung.


Terletak di Laut China Selatan dengan keluasan 21.33 kilometer persegi, pulau yang namanya merujuk kepada pokok kapas itu dilihat mampu menjadi destinasi pelancongan ‘wajib singgah’ dan bertaraf antarabangsa.


Tempoh perjalanan ke pulau itu hanya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit dari jeti Marang.


Namun, di sebalik semua keindahan semula jadi, tidak dinafikan pulau itu memerlukan pemantapan dari sudut infrastruktur dan diberi nafas baharu bagi menampung keperluan lebih ramai pelancong.


Dalam menuju ke arah pembangunan industri pelancongan, kerajaan negeri disaran bertindak sebelum pulau yang pernah diletakkan sebagai paling popular di Terengganu itu terkebelakang dari sudut persaingan dengan pulau lain.


Tinjauan ke Pulau Kapas mendapati ada beberapa kerosakan pada jeti, infrastruktur pertama digunakan pengunjung yang wajar menjadi tanda isyarat terbaik serta menarik pada mata mereka yang berhasrat meneroka kawasan yang terkenal dengan lambakan ikan ‘Nemo’ itu.


Seorang pengunjung, Hanum Razak, 50, berkata beliau pernah ke pulau berkenaan sebanyak dua kali sebelum ini, yang pertama pada 2015 dan mendapati keadaan infrastrukturnya tidak banyak berubah, dengan memberi contoh bahagian atap jeti yang rosak.


“Tangga di situ juga ada yang sudah tidak boleh dipijak kerana hakisan,” katanya sambil menambah kemudahan tandas juga perlu disediakan di tempat yang lebih dekat dengan pesisir pantai.


Hanum berkata, keterujaan untuk singgah di Pulau Kapas kerana faktor alam semula jadi yang memikat hati dan jarak lebih dekat dari tanah besar, berbanding Pulau Redang dan Pulau Perhentian.


Pengusaha pusat peranginan, Hawa Abdul Rahman, 58, berkata pelanggannya termasuk pelancong asing ada yang melihat Pulau Kapas bagaikan rumah kedua.


Katanya, ini menggambarkan Pulau Kapas berjaya memikat hati pelancong dan bukannya sekadar lokasi persinggahan bermusim.


“Sudah tiba masanya kerajaan negeri memberi lebih tumpuan dalam soal infrastruktur di sini bagi merancakkan sektor pelancongan, termasuk kemudahan seperti tandas dan surau,” katanya selain mahu melihat usaha mempromosi Pulau Kapas diperhebat.


Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata masalah dan cabaran yang dibangkitkan perlu diselesaikan dalam tempoh masa terdekat.


Antara perkara yang menuntut perhatian segera ialah pembaikan jeti, penambahan tong sampah, sistem solar dan pembinaan longkang lebih teratur.


Beliau berkata, pertemuan membabitkan pihak pengusaha chalet di pulau itu dan wakil kerajaan negeri akan diatur bagi menyelesaikan masalah berbangkit tidak lama lagi. - BERNAMA



Comments


bottom of page