IPOH – Kerajaan Perak mahu gerakan koperasi di negeri ini lebih aktif merebut peluang aktiviti ekonomi yang tercipta hasil pelbagai projek mega yang sedang dilaksanakan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyatakan apabila mengadakan pertemuan dengan pengendali projek, beliau dimaklumkan tiada gerakan koperasi yang membuat permohonan untuk menjadi pembekal atau kontraktor.
Beliau malah mahu gerakan koperasi menerokai peluang projek Lebuh Raya Ekspres Ipoh Barat (WISE) yang sedang dimulakan untuk menghubungkan Kuala Kangsar dan Gopeng sepanjang 60 kilometer, sebagai alternatif kesesakan Terowong Menora Lebuh Raya Utara-Selatan.
“Koperasi berniaga dan mempunyai ahli yang ramai. Jika dapat melihat apa pembangunan yang sedang kita buat, mereka kena ambil peluang ini.
“Kena belajar atau cari kawan. Kalau tak boleh bekal pasir atau batu, masih ada peluang lain seperti membuka perniagaan seperti kedai runcit, cucian dobi dan lain-lain hasil kerancakan ekonomi di sesuatu tempat,” katanya selepas majlis apresiasi gerakan koperasi Perak 2024 di sini hari ini.
Saarani melihat gerakan koperasi penting memandangkan pertubuhan itu dianggotai oleh ramai kumpulan masyarakat yang boleh meraih pulangan ekonomi.
Sumber: Kosmo!
Comentarii