top of page

Projek turap, tambah baik jalan tidak jejas Tahun Melawat Ipoh 2023


Keadaan jalan raya berlubang
Gambar hiasan: Kerja-kerja masih berjalan dan telah dipercepatkan agar tidak mengganggu kelancaran trafik dalam menyambut kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.

Keadaan jalan raya berlubang

IPOH: Tahun Melawat Ipoh 2023 tidak akan terjejas dengan projek penurapan dan penambahbaikan jalan di sekitar bandar raya ini yang masih belum disiapkan sejak sekian lama.


Datuk Bandar Datuk Rumaizi Baharin berkata ini kerana kerja-kerja tersebut masih berjalan dan telah dipercepatkan agar tidak mengganggu kelancaran trafik dalam menyambut kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.


"Perkara yang melibatkan infrastruktur ini adalah bersifat berterusan yang mana kita akui memang banyak jalan yang rosak termasuklah projek di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), namun jika kita tidak buat sekarang, bila lagi hendak siap?. "Sekarang kita mahu lihat di mana kelemahan dan kekuatan serta mengharapkan kita dapat mengatasi semua kekangan menjelang Tahun Melawat Perak 2024," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada 107 pesara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Majlis Jasamu Dikenang 2021 di sini, semalam.


Rumaizi berkata projek-projek yang dikendalikan oleh syarikat Mangkubumi Sdn. Bhd itu dijangka siap pada pertengahan tahun ini.


"Lepas Jun baru selesai, kalau tampal jalan sekarang pun, nanti akan menyebabkan berlaku perkara lain," tambahnya.


Dilapor pada 27 Nov lalu, beliau berkata kesesakan lalu lintas yang berpunca daripada kerja menaik taraf pembentungan di bandar raya ini dijadual siap pada Jun 2023.


Pada 31 Dis, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad melancarkan Tahun Melawat Ipoh 2023 sebagai usaha menonjolkan lagi kekuatan dan kehebatan Ipoh sebagai antara lokasi percutian yang mesti dilawati.


Sumber: Astro Awani


Comments


bottom of page