SEREMBAN - Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memantau setiap bulan perkembangan projek perumahan Residensi PR1MA Rantau yang sudah tertangguh lama.
Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia sebagai tanda komitmen pihaknya bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan segera sekali gus menghilangkan resah pembeli.
"Walaupun pihak pemaju telah beri satu tarikh baharu jangkaan siap, tetapi saya mengambil pendekatan untuk menilai dahulu daripada terus mengumumkannya.
"Ini kerana saya tidak mahu lagi memberi bebanan kepada pembeli. Dalam keadaan sekarang, kita lebih kepada untuk pastikan projek ini siap," katanya ketika ditemui melawat perkembangan projek PR1MA Rantau di Bandar Ekar Rantau di sini pada Jumaat.
Beliau memberitahu, lawatan ke lokasi tapak projek berkenaan bagi melihat sendiri perkembangannya dan pada masa sama mengenal pasti permasalahan serta langkah bersesuaian yang dapat diambil untuk mempercepatkan usaha menyiapkannya.
Ini kerana katanya, pihaknya mendapati cabaran utama dihadapi di projek PR1MA Rantau apabila tarikh jangkaan siap yang sering berubah-ubah sehingga memberi tekanan kepada pembeli.
"Bila perkara itu berlaku, banyak komitmen bebanan terpaksa dipikul pembeli, mereka terpaksa ubah perancangan dan tanggung soal kewangan serta sebagainya.
"Jadi bila saya turun ini memang saya nak semak bahawa kerja, pekerja dan bahan sebagainya ada di lapangan serta saya nak semak dari segi kerjasama dengan semua pihak kerana dalam menyiapkan rumah, ia membabitkan pemaju, kontraktor, konsultan syarikat utiliti dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya
Bagaimanapun katanya, pihak pemaju telah pun mengambil tindakan proaktif dengan membayar sebahagian dahulu ganti rugi jumlah tertentu (LAD) kepada pembeli bagi mengurangkan beban ansuran bulanan bank yang ditanggung mereka.
Projek PR1MA berkenaan dimulakan pada 2017 dan sepatutnya selesai pada Januari 2019 itu membabitkan 766 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat, namun tertangguh sehingga hari ini.
Sumber: Sinar Harian
Projek tertangguh lama, kerajaan pantau PR1MA Rantau setiap bulan
Comments