top of page

Projek tertangguh akan pulih


Pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB)

MIRI: Pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Fasa 2 dari Miri-Limbang-Lawas akan dilaksanakan penggal ini.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek berkenaan tergendala apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kepimpinan peringkat Persekutuan dahulu.


“Bagaimanapun, sekarang ini sudah diumumkan bahawa projek berkenaan akan dipulihkan.


“Maka pembinaan LBP Fasa Dua dari Miri masuk ke Limbang dan seterusnya ke Lawas dapat dilaksanakan pada penggal ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peng Lamei Ledoh Pahu Kayan Sarawak 2023 di Hotel Meritz Miri, baru-baru ini.


Fadillah menjelaskan, Jalan Perhubungan Sabah-Sarawak (SSLR) melibatkan Fasa 2 dan Fasa 3 sudah diluluskan.


“Sekarang ia masih dalam proses pengurusan nilai, penilaian dan seterusnya akan di bawa ke proses tender.


“Projek ini juga akan terus bersambung hingga ke Miri tanpa perlu melalui Brunei,” ujarnya.


Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amanah kepada beliau untuk membantu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi memastikan segala perancangan infrastruktur di Sarawak dapat dilaksanakan secepat mungkin.


“Kita juga sudah mengadakan beberapa mesyuarat penyelarasan dan yakinlah bahawa kita akan terus memperjuangkan supaya projek yang dijalankan ini dapat dipercepatkan.


“Namun, ia juga memakan sedikit masa kerana memerlukan perancangan yang teliti termasuk beberapa cabaran yang kita hadapi seperti kekurangan bahan binaan dan bilangan kontraktor yang tidak mencukupi,” tegasnya.


Sementara itu, beliau turut menyerahkan geran bernilai RM50,000 kepada Persatuan Kayan Sarawak (PKS).


Sumber: Sarawak Voice

4 views

Comments


bottom of page