PEKAN - Projek rancangan tebatan banjir (RTB) mukim Temai akan dilaksanakan Januari tahun depan bagi mengurangkan kesan banjir di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek yang membelanjakan hampir RM65 juta itu mengambil masa empat tahun untuk siap sepenuhnya.
"Apabila RTB mukim Temai ini siap dibina, ia dapat mengurangkan keluasan kawasan berisiko banjir daripada 600 hektar kepada 60 hektar. Jadi, kita lihat pembinaan benteng ini mampu mengurangkan bilangan penduduk terjejas akibat banjir.
"Ini antara salah satu usaha Kerajaan Pahang bersama Kerajaan Pusat dalam memastikan masalah dihadapi rakyat di kawasan yang terlibat banjir diberi perhatian sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sebelum itu, beliau bersama Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli meninjau beberapa lokasi bagi pelaksanaan projek tersebut.
Mohammad Fakhruddin menjelaskan projek RTB itu telah dipersetujui jemaah Menteri dalam Memorandum Jemaah Menteri (MJM) iaitu secara prinsip meluluskan projek yang berjumlah hampir RM65 juta.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM32 juta akan digunakan untuk menaik taraf sistem saliran, pintu air dan rumah Pam Ketapang Link di Kampung Ketapang dan perumahan Ketapang.
"Kita berharap semua projek yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Malah, kita juga mahu pembinaan benteng siap dalam jangka waktu ditetapkan," katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan sebanyak 12 rumah baharu telah dibina Kerajaan Pahang bagi tujuan penempatan semula penduduk yang tinggal di perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Al-Ayubi, Kampung Temai Tengah yang sering berdepan dengan masalah banjir termenung.
Katanya, kesemua rumah tersebut dibina semula di lokasi baharu iaitu di Kampung Temai Hulu bersebelahan dengan Pusat Pemindahan Banjir Kampung Temai Hulu.
"Ini salah satu lagi usaha Kerajaan Pahang untuk membela nasib rakyat. Saya berharap projek ini dilaksanakan sebaik mungkin dan siap seperti dirancang.
"Semoga 12 keluarga yang menghuni rumah PPRT selama ini akan menikmati kehidupan yang lebih selesa di rumah baharu dan tidak lagi dibebani masalah banjir seperti sebelum ini," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
تعليقات