SEREMBAN: Pelan Tindakan Khas Mantin telah dimulakan hampir dua tahun lepas dan ia telah disiapkan keseluruhannya oleh konsultan yang telah dilantik oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) selepas pelbagai sesi bersama dengan semua pihak kepentingan dan kajian dilaksanakan serta 30 cadangan juga telah dinyatakan.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar berkata, Pelan Tindakan Khas ini akan menjadi rujukan kepada semua pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, pemaju dan pihak lain dalam setiap pembangunan di kawasan Mantin.
“Pematuhan dokumen ini akan membolehkan setiap pembangunan dibuat secara lebih terancang dan sistematik.
“Kebiasaannya Pelan Tindakan Khas ini adalah dibuat untuk Bandar dan Pekan yang lama dimana sebelum ini tidak ada sebarang perancangan yang menyeluruh.
“Beberapa projek dalam cadangan ini pun telah dimulakan oleh MBS dan beberapa agensi kerajaan lain.
“Antaranya adalah penyediaan Tapak Rekreasi di Pekan Mantin dan laluan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan tumpuan di Mantin seperti Klinik Kesihatan, Sekolah dan beberapa kemudahan awam terus ke Pekan Mantin dengan kos lebih kurang RM 1 juta,” kata Arul Kumar pada Program Hari Bertemu Pelanggan Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Khas Mantin.
Ujarnya, satu lagi cadangan adalah penambahabaikan sistem Pengangkutan awam, iaitu perkhidmatan bas juga dicadangkan dalam Pelan Tindakan Khas Mantin ini dan perkhidmatan Bas Henti-henti BAS.MY Seremban juga telah ditambah baik dengan penyediaan bas-bas baharu oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.
“Beberapa laluan tambahan yang lebih efektif juga sedang dipertimbangkan untuk membolehkan lebih ramai penduduk dapat menggunakan pengangkutan awam bas,” kata Arul Kumar yang juga ADUN Nilai.
Sementara itu, Arul Kumar menyambut baik Hari Bertemu Pelanggan MBS dimana memberikan peluang kepada orang awam untuk terus berjumpa dengan Datuk Bandar, Setiausaha, Ahli-Ahli Majlis dan Ketua-Ketua Jabatan untuk membuat aduan, mencari jalan penyelesaian terdapat sebarang masalah serta dapat memberikan cadangan.
Sumber: Negeri Kita
Comments