KUCHING: Projek Tangki Air Aras Tinggi di Taman Hijrah Simunjan perlu disegerakan pelaksanaannya memandangkan keperluan yang semakin mendesak di kawasan berkenaan.
Awla Dris (GPS-Simunjan) berkata, projek berkenaan merupakan salah satu isu yang menjadi perbualan hangat masyarakat setempat di media sosial di kawasan Simunjan.
“Hal ini kerana, untuk pengetahuan umum, Simunjan merupakan salah satu daerah yang belum mempunyai 'high level water tank' (tangki air aras tinggi) sendiri berbanding daerah-daerah di sekitarnya.
“Oleh itu, di dalam Dewan ini saya ingin mengingatkan tentang pentingnya pelaksanaan projek ini sesuai janji yang telah dikemukakan kepada rakyat,” katanya pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 yang dibentangkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Isnin.
Menurut Awla, tapak projek itu ditetapkan dalam lawatan lapangan yang telah dijalankan pada 25 Oktober 2022 oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
Katanya, dengan adanya tangki itu, diharapkan dapat meningkatkan kapasiti penyimpanan air dan memastikan bekalan air yang lebih stabil dan konsisten kepada penduduk.
“Isu ini perlu ditangani dengan segera bagi memastikan setiap penduduk di daerah ini dapat menikmati akses kepada air bersih dan terawat, selaras dengan usaha kerajaan untuk menambahbaik sistem bekalan air di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu premis judi dalam talian yang bertopengkan kedai 24 jam yang kian bertambah di kawasan luar bandar termasuk di kawasan Simunjan.
Katanya, apa yang membimbangkan ketagihan judi dalam talian juga boleh menjurus kepada jenayah lain seperti kecurian, keberhutangan yang tinggi, rasuah, perceraian, vandalisme dan lain-lain lagi yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Sarawak.
“Oleh itu, saya memohon agar pihak pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta agensi lain menyelesaikan isu ini.
“Dimohon kepada pihak bertanggungjawab untuk mengenal pasti secara terperinci permasalahan ini agar pertumbuhan premis seperti ini tidak sewenangnya diberi kelulusan untuk beroperasi,” katanya.
Berhubung masalah berkaitan rangkaian telekomunikasi, Awla berkata di Simunjan masalah berkenaan masih serius yang menghalang penduduk daripada menikmati perkhidmatan komunikasi berkualiti.
“Isu ini merangkumi kesukaran untuk membuat panggilan, akses Internet yang tidak stabil, dan gangguan dalam perkhidmatan yang seharusnya menjadi hak asasi setiap individu pada era digital ini.
“Dalam konteks ini, saya berharap projek menaik taraf stesen pemancar yang sedang berjalan dapat disiapkan dengan segera kerana semua rangkaian telekomunikasi di kawasan ini masih bermasalah dan lemah,” katanya.
Menurut Awla, peningkatan infrastruktur telekomunikasi adalah selaras dengan dasar digital Kerajaan Sarawak yang menekankan pentingnya memperluas akses kepada teknologi dan komunikasi untuk semua lapisan masyarakat.
Katanya, dengan menyelesaikan projek ini, kerajaan dapat merealisasikan visi untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri yang maju dan berdaya saing di peringkat nasional dan global, sekali gus membantu penduduk Simunjan untuk terhubung secara efektif dalam dunia digital.
Sumber: Utusan Borneo
Comments