AYER KEROH: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin projek pembangunan Malaysia Tourism City (MTC) di Kuala Linggi, Masjid Tanah, di sini akan dimulakan tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya sedang menunggu keputusan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk membolehkan projek bernilai RM120 juta itu dilaksanakan.
"Projek dalam proses pertimbangan (untuk dilaksanakan). Kita mengharapkan ia diluluskan segera.
"Kita sudah mengemukakan kepada EPU dan mereka sudah pun datang melawat (tapak cadangan projek), bermakna ada potensi projek itu dibangunkan di situ," katanya.
Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama ( TYT) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat.
MTC bakal dibina Meridian Bhd (Meridian) di Kuala Linggi itu akan menempatkan taman tema air Hasbro pertama di dunia.
Hasbro adalah jenama permainan antarabangsa dengan kira-kira 1,000 hak intelek seperti Nerf, My Little Pony, Mr Potato Head, Play-Doh, Battleship, Monopoly, Elefun & Friend dan Mousetrap.
MTC dijangka memberi pendapatan tambahan kepada sektor pelancongan negara sebanyak RM5 bilion.
Projek seluas 251 hektar itu merangkumi empat cabang utama iaitu pelancongan masa, kesihatan, pendidikan dan eko-pelancongan.
Sasaran pelaburan bagi fasa pertama projek adalah sebanyak RM120 juta yang akan menempatkan beberapa tarikan utama pelancongan seperti pasar minggu dan sebahagian taman tema serta hotel.
Nancy juga menyambut baik beberapa pandangan Mohd Ali dalam memajukan lagi sektor pelancongan dan kebudayaan di Melaka.
"Beberapa idea untuk sektor pelancongan di Melaka dikemukan itu, kami akan membawa ke peringkat kementerian untuk dibincangkan, " katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments