top of page

Projek solar terapung TNB kini lebih jelas, pemulihan stesen janakuasa hidro - TA Securities



KUALA LUMPUR 13 Nov - Lebih banyak penjelasan diberikan mengenai projek solar terapung hidro hibrid (HHFS) Tenaga Nasional Bhd (TNB), iaitu satu inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) serta Program Lanjutan Hayat Skim Hidro Sungai Perak (LEP) yang bertujuan memanjangkan hayat dan berpotensi meningkatkan pendapatan aset hidro kumpulan.


TA Securities, dalam laporan baru-baru ini, berkongsi pandangan daripada lawatan mereka ke stesen janakuasa hidro Chenderoh TNB di Perak.


Katanya, Chenderoh merupakan antara empangan kuasa hidro bagi projek 2.5 gigawatt HHFS TNB, yang telah digariskan sebagai salah satu projek pemangkin perdana NETR pada tahun 2023.


"Fasa 1 pembangunan HHFS Chenderoh memerlukan kapasiti 30 megawatt (MW), diikuti dengan fasa kedua yang melibatkan 40MW lagi yang dijangka siap menjelang 2026," katanya.


TNB masih belum memuktamadkan laluan ke pasaran bagi projek HHFS tetapi syarikat itu tidak menolak Skim Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat sebagai pilihan.


TA Securuites berkata, projek solar berskala besar (LSS) biasanya menjana kadar pulangan dalaman dalam julat satu digit.


“Loji solar terpasang LSS4 terkini memerlukan tarif purata sekitar 20 sen setiap kilowatt jam (kwj).


“Memandangkan kos yang lebih tinggi bagi menyokong solar terapung, kami menganggap tarif HHFS TNB boleh berada pada premium sekitar 25 hingga 30 sen/kwj,” katanya.


Firma penyelidikan itu turut berkongsi sorotan LEP TNB yang melibatkan enam stesen janakuasa hidro daripada skim hidro Sungai Perak. 


"Pemulihan, pemodenan dan kenaikan taraf peralatan akan memanjangkan hayat stesen ini selama 30 hingga 40 tahun lagi," kata TA Securities. 


Selain itu, LEP dijangka meningkatkan kebolehpercayaan dan kecekapan loji sedia ada dengan menggunakan teknologi terkini yang membolehkan peningkatan kapasiti sehingga 10%.


TA Securities berkata, TNB berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peningkatan dalam perbelanjaan modal grid bagi menyokong peralihan tenaga.


Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM17.30. 


Sementara itu, potensi utama bagi penarafan semula termasuk keputusan Tempoh Kawal Selia 4 (2025 hingga 2027) yang akan datang dan penambahan kapasiti generasi baharu.


Sumber: Dagang News

Commenti


bottom of page