top of page

Projek solar bumbung tumpu perumahan berskala besar - Rafizi


Projek solar bumbung tumpu perumahan berskala besar - Rafizi
Gambar hiasan

Projek solar bumbung tumpu perumahan berskala besar - Rafizi

KERAJAAN akan memberi tumpuan bagi membenarkan lebih banyak pembangunan perumahan bandar bersepadu berskala besar memasukkan solar bumbung dalam pakej harga dan membolehkan penggiat hartanah mempertimbang penyelesaian simpanan tenaga.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pada masa ini, kerajaan sedang bekerjasama dengan Sime Darby Property Bhd berikutan projek-projek solar bumbung hanya boleh dilaksanakan di projek perumahan komersial berskala besar tanpa pembiayaan kerajaan.


Namun, katanya, aspek birokrasi menyebabkan proses itu memakan masa biarpun terdapat permintaan daripada kalangan pembeli perumahan hartanah pertengahan dan mewah.


"Pada masa ini, proses berkenaan membabitkan permohonan kuota yang perlu dibuat secara individu. Ini agak mengekang bagi pemaju hartanah berskala besar seperti Sime Darby Property kerana tidak boleh menjadikannya sebagai satu pakej untuk rumah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Fasa 1 Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) di sini, pada Khamis.


Mengulas selanjutnya, Rafizi berkata, langkah itu diambil bagi mempercepat teknologi serta permohonan bagi simpanan bateri.

Bagi solar bumbung individu, beliau berkata, ini akan dijalankan apabila pihak pengagregat pasaran tunggal beroperasi dan mempercepatkan kehadiran lebih banyak pasaran runcit bebas.

Sementara itu Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek perintis dengan Sime Darby Property itu membabitkan kawasan perumahan Elmina dan Bandar Bukit Raja, Selangor, yang merangkumi kapasiti solar sehingga 10 kilowatt bagi setiap rumah dan berjumlah 4.5 megawatt bagi 450 rumah.


Menurutnya, subsidi bersasar akan turut mempercepat pelaksanaan solar bumbung bagi projek pembangunan perumahan.


"Bagi mereka dalam kelompok teratas pendapatan isi rumah, tarif yang perlu dibayar adalah hampir dengan yang ditetapkan di pasaran kerana menerima subsidi lebih rendah. Kini, mereka ada pilihan iaitu untuk memilih pemasangan solar bumbung.


"Ramai yang menganggap solar bumbung mengambil tenaga itu dalam skala yang besar. (Sedangkan) jika anda lihat di negara seperti Australia dan Jerman, solar bumbung ini lebih mengatasi kaedah pemasangan tenaga.


"Aspek itu yang kita lihat masih belum diterokai di Malaysia sepenuhnya berikutan terdapat kekangan seperti tanah dan kos,” katanya.


Selain itu, mengulas NETR, Rafizi berkata, kerajaan mengambil pendekatan berbeza dalam pelaksanaan dasar yang bertujuan menseimbangkan keperluan mewujudkan momentum serta melengkapkan usaha itu menerusi pelancaran fasa pertama NETR.


"Bagi kami, adalah penting untuk menarik perhatian terhadap matlamat tenaga Malaysia. Dalam sebulan lagi, kita akan melancarkan bahagian kedua NETR yang akan meliputi jenis dasar serta ekosistem bagi menyokongnya,” katanya.


Sumber: Sinar Harian


Projek solar bumbung tumpu perumahan berskala besar - Rafizi


Komentar


bottom of page