BINTULU: Projek Skim Pembesaran Kampung Jelutong seluas 234.5 hektar yang kini giat dilaksanakan dan dijangka siap pada Mei depan, akan menyediakan petempatan moden yang lebih tersusun dan dilengkapi kemudahan lebih baik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Rumah mampu milik dirancang dibina dengan sebahagiannya bakal menampung keperluan perumahan yang selesa untuk penduduk Jepak Jaya di Projek Skim Pembesaran Kampung Jelutong Jepak, Jalan Pesisir Kuala Tatau di Jepak di sini.
Iskandar berkata, projek ini meliputi kawasan seluas 234.5 hektar dengan perancangannya untuk menempatkan 867 lot kediaman secara keseluruhan.
"Pelaksanaan fasa pertama melibatkan kawasan 39.55 hektar yang menyediakan 146 lot kediaman," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Beliau berkata, pelaksanaan fasa ini termasuk penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem saliran dan bekalan utiliti.
Jelasnya, tempoh pelaksanaan projek ini bermula pada 20 Mei 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada 14 Mei 2025 dalam masa selama 24 bulan dengan kos pembinaan keseluruhan dianggarkan mencecah RM47 juta.
"Ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup penduduk setempat," katanya.
Sumber: Utusan Borneo
תגובות