Sri Aman: Selepas sekian lama diklasifikasikan sebagai projek 'sakit', Hospital Sri Aman II kini sudah memulakan operasinya melalui tiga fasa untuk pesakit yang mahu mendapatkan khidmat rawatan dan perubatan bermula hari ini.
Fasa pertama pengoperasian hospital baharu ini menyaksikan pembukaan Wad Pesakit Dalam, klinik pakar, Farmasi, Patologi (makmal), Radiologi (X-Ray), Jabatan Kecemasan dan Trauma,kerja sosial perubatan, rekod perubatan, CSSD (Sucihama), Forensik, Rehabitilasi, pengurusan serta sajian dan dietetik.
Fasa kedua akan dikuatkuasakan bermula 15 September ini dan membabitkan pembukaan wad bersalin, Wad Kebidanan dan Sakit Puan (O&G), Klinik Pakar O&G serta dewan bedah.
Fasa ketiga pengoperasian hospital baharu terbabit pula akan meliputi penyediaan khidmat Hemodialisis, Imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan dan Endoskopi.
Namun tarikh penguatkuasaan fasa ketiga itu akan dinyatakan kemudian dengan kemudahan Wad Psikiatri, Klinik Pakar Psikiatri, Hemodialisis, Wad Isolasi dan Perkhidmatan Sokongan Klinik akan terus dikekalkan di kemudahan lama iaitu Hospital Sri Aman 1.
Pengarah Hospital Sri Aman II Dr Hazwani Mohd Yusop berkata, pengoperasian hospital itu akan dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan pesakit di Hospital Umum Sarawak di Kuching.
"Hospital Sri Aman II bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kesesakan pesakit di HUS malah turut membolehkan rujukan kes dari Hospital Bahagian Betong diselesaikan di sini," katanya dalam sesi temu ramah di sini, hari ini.
Hazwani berkata, Hospital Sri Aman II juga akan menjadi 'pendahulu' dalam pelaksanaan konsep hospital kluster bagi bahagian tenggara Sarawak termasuk juga Hospital Bahagian Betong.
Konsep hospital kluster menggabungkan hospital pakar negeri dan hospital daerah menerusi perkongsian sumber kepakaran, peralatan dan fasiliti, sekali gus mengoptimumkan penggunaan katil di semua hospital kerajaan.
Terdahulu Projek Hospital Sri Aman II dimulai dengan kerja-tanah pada 2012 yang membabitkan kos RM8 juta sebelum ia diteruskan dengan kerja pembinaan hospital, kuaters dan bangunan sokongan dengan kos RM183 juta.
Bagaimanapun projek terbabit diklafisikasikan sebagai 'sakit' selepas mengalami kelewatan berpunca dari beberapa faktor antaranya kekurangan tenaga kerja dan penularan Covid-19.
Sumber: Harian Metro
Comments