JOHOR BAHRU: Status projek sakit di negara ini boleh mencecah 1,000 kes sekiranya tiada intervensi dilakukan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan berdepan cabaran mengekang peningkatan jumlah projek sakit sekiranya projek menunjukkan kemajuan mengikut 'track' (sihat) bertukar status kepada sakit.
"Kita jangkakan berlaku pertambahan projek sakit secara mendadak pasca pandemik selepas Lanjutan Tempoh Masa (EOT) berakhir awal tahun ini.
"Melihat unjuran setiap bulan, kita lihat ada kemungkinan projek sihat jadi 'projek sakit'.
"Sekiranya tidak dipantau, projek sakit ini boleh melangkaui 1,000 tahun ini, jadi itulah cabaran dihadapi untuk meredakan keadaan, bukan sahaja menyiapkan atau melancarkan projek, tetapi bertarung mengekang projek sihat menjadi 'sakit'," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat sebuah projek sakit di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, sehingga 30 April lalu, sebanyak 481 projek perumahan di seluruh negara dikategorikan sebagai projek sakit dengan 118 daripadanya dalam usaha diselesaikan.
Di Johor, katanya, sebanyak 52 projek sakit dikenal pasti setakat ini dan lapan projek terbengkalai dikesan.
Beliau berkata, usaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyelesaikan masalah projek sakit mendapat kerjasama dan pembabitan kerajaan negeri.
"Ada negeri yang sudah ada 'task force' seperti Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, jadi KPKT akan pantau manakala urusan kelulusan atau tanah dan sebagainya itu semua di peringkat negeri.
"Contoh di Kelantan, apabila kita tinjau projek sakit di sana, kita dapat kerjasama dan pembabitan kerajaan negeri dan mereka setuju wujudkan 'task force' juga," katanya.
Sumber: Berita Harian
'Projek sakit' boleh meningkat tanpa intervensi
תגובות