ALOR SETAR: Kerajaan negeri berharap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling dapat diteruskan bagi membantu mengatasi masalah banjir di daerah itu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beliau difahamkan projek bernilai RM20 juta itu dibatalkan kerajaan terdahulu.
"Projek itu dibatalkan (kerajaan terdahulu) kerana Ahli Parlimen Baling adalah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mungkin selepas ini projek itu dapat dikembalikan.
"Baling adalah sebuah daerah yang luas dan sungai pun banyak, jadi RTB ini perlu diberi keutamaan.
"Selepas ini saya akan berjumpa pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membincangkan masalah ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Star View Menara Alor Setar di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kejadian banjir lumpur di Kupang, Baling yang dipercayai akibat aktiviti pembalakan, Muhammad Sanusi, berkata pihaknya sudah mencadangkan kaedah yang boleh diguna pakai untuk pengaliran selut dari bukit yang digondol sebelum ini.
Katanya, antara kaedah itu adalah dengan mewujudkan perangkap selut, namun pihaknya belum menerima laporan lanjut mengenainya daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK).
"Aktiviti pembalakan ini sudah lama, sekarang saya jadi Menteri Besar dan perlu terima akibatnya, namun saya akan selesaikannya serta cari jalan terbaik.
"Apa pun bantuan awal sudah disalurkan kepada mangsa banjir, wakil rakyat sudah menyampaikan bantuan berbentuk makanan, malah Dewan Pemuda PAS turut membantu membersihkan rumah mereka," katanya.
Semalam, media melaporkan hujan berterusan sehingga lima jam menyebabkan 301 rumah penduduk membabitkan 23 kampung di Kupang, Baling dimasuki air sehingga paras satu meter.
Sumber: Berita Harian
Comments