top of page

PROJEK PULAU SILIKON DI PULAU PINANG BERADA DI LANDASAN BETUL DALAM TAHUN PERTAMA



GEORGE TOWN, 15 Okt (Bernama) -- Setahun selepas kerja pembangunan dimulakan, projek Pulau Silikon di sini menyaksikan kemajuan mengikut jadual dengan kepentingan rakyat Pulau Pinang terutamanya nelayan dijaga dengan baik.


Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi Pulau Pinang Selatan (PEOM) adalah komponen utama dalam usaha menyeluruh untuk meningkatkan taraf hidup nelayan sambil melindungi ekosistem marin dan memajukan pertumbuhan ekonomi serta infrastruktur negeri.


Sebagai syarikat bertujuan khas ditubuhkan kerajaan Pulau Pinang untuk mengawasi pembangunan Pulau Silikon, Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) sentiasa mengutamakan keterangkuman dalam agenda pembangunan, memastikan tiada komuniti atau entiti yang ketinggalan.


Ketua Pegawai Eksekutif PIC Datuk Seri Farizan Darus ketika ditemui Bernama berkata sepanjang tahun lepas, kerajaan negeri telah menunjukkan komitmen dengan menyalurkan manfaat SIMP dan PEOM sebelum kerja-kerja penambakan bermula dan terus melakukannya selaras kemajuan projek.


"Sebahagian daripada kemajuan ini termasuk pembinaan depot Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Silikon iaitu langkah kritikal ke arah meningkatkan sistem pengangkutan awam negeri.


Bersama ini, infrastruktur penting akan dibangunkan, termasuk jalan raya, jambatan, utiliti, ciri-ciri bandar pintar, serta rangkaian hijau-biru.


"Perkembangan ini bukan sahaja merangsang ekonomi tempatan tetapi juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan negara, menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri berpandangan jauh dalam pembangunan bandar mampan," katanya.


Farizan berkata sebagai sebahagian daripada pendekatan berperingkat, fasa pertama pembangunan Pulau Silikon meliputi 509.9 hektar (1,260 ekar) dijangka siap pada 2032.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus Joshua Woo Sze Zeng berkata Pulau Pinang telah mencapai beberapa kejayaan dalam tahun pertama pembangunan Pulau Silikon.


Ini termasuk mewujudkan lebih 50 ekar tanah baharu untuk membina zon industri generasi seterusnya yang dipanggil Taman Teknologi Hijau bagi menempatkan depot LRT serta menyediakan ruang rekreasi awam baharu, perniagaan baharu dan perumahan mampu milik.


Selain itu, lebih RM1.4 bilion telah disuntik ke dalam ekonomi tempatan dan lebih RM10 juta disalurkan sebagai bantuan kewangan kepada 680 nelayan.


Beliau berkata 97 nelayan telah menerima bot baharu dilengkapi enjin lebih berkuasa dan teknologi penangkapan ikan yang lebih baik untuk meningkatkan keupayaan mereka.


"Seterusnya, lebih banyak nelayan akan menerima manfaat ini dan 482 nelayan telah mendaftar untuk meningkatkan kemahiran melalui kursus pelaut profesional yang dibiayai sepenuhnya kerajaan Pulau Pinang sebagai pemilik projek Pulau Silikon," katanya.


Woo berkata ratusan anak nelayan juga telah mendapat manfaat daripada pelbagai program pendidikan, lebih 370 rakyat Malaysia telah diambil bekerja dalam projek ini dan lebih 1,500 kontrak dianugerahkan kepada peniaga dan kontraktor tempatan sekali gus merangsang aktiviti ekonomi di Pulau Pinang.


Selain itu, beliau berkata kira-kira 23,200 pokok bakau telah ditanam di bawah pelan induk keseimbangan ekologi Pulau Silikon bagi mewujudkan habitat marin baharu di sekitar Pulau Pinang.


Data Jabatan Perikanan menunjukkan hasil tangkapan marin meningkat pada Oktober, November dan Disember 2023, iaitu tiga bulan selepas kerja-kerja penambakan bermula manakala Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyatakan tiada penurunan jumlah ikan.


Pulau Pinang Selatan kini dikenali sebagai projek Pulau Silikon bagi Pulau A, adalah projek penambakan sedang dibangunkan di luar pantai selatan Pulau Pinang untuk mewujudkan sebuah pulau seluas 930.78 hektar (2,300 ekar).


Sumber: Bernama

Comentários


bottom of page