top of page

Projek PPR, RMR terus bantu B40 miliki kediaman sendiri


 Projek Perumahan Rakyat (PPR)
Projek Perumahan Rakyat (PPR)

 Projek Perumahan Rakyat (PPR)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 Projek Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan 12,037 unit kediaman kini dalam fasa sedang dan akan dibina bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri.


Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata sejak program itu mula dilaksanakan pada 1982, sebanyak 159 projek PPR merangkumi 99,296 unit rumah, siap dibina di seluruh negara.


"Bagi satu lagi projek untuk golongan B40 iaitu Rumah Mesra Rakyat (RMR), sebanyak 55,055 unit rumah siap dibangunkan, 4,181 unit sedang dalam pembinaan dan baki 657 unit dalam perancangan," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja, di Dewan Negara, hari ini.


Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, setakat tahun lalu, sebanyak 108,373 unit Rumah Mampu Milik siap dibina, 131,573 unit dalam pembinaan, manakala bakinya dalam perancangan untuk mencapai sasaran 500,000 unit dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).


Katanya, setakat 28 Februari lalu, terdapat 74 projek sakit dan terbengkalai bagi kategori harga di bawah RM150,000 direkodkan Jabatan Perumahan Negara yang sedang dalam pemantauan, perancangan serta pemulihan.


"Kementerian akan terus mengadakan kerjasama pintar dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu projek sakit dan terbengkalai.


"Kita berharap kerajaan negeri juga mengambil inisiatif lebih menyeluruh dalam menangani isu ini, kerana ada sesetengah perkara membabitkan kuasa kerajaan negeri," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page