top of page

Projek PLSB Sungai Golok Fasa 1 dijangka siap Julai 2026


Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok. FOTO Arkib NSTP

Kota Bharu: Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 yang dijadualkan siap pada Ogos lalu masih berjalan dengan peratus kemajuan 70 peratus.


Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, berikutan pertambahan lot terbabit dengan pengambilan balik tanah dan kesan perubahan jajaran jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) menyebabkan kontraktor memohon lanjutan masa.


Beliau berkata, kontraktor memohon lanjutan masa pada November 2023 dan diluluskan pada 30 Januari lalu dengan jumlah lanjutan masa selama 707 hari.


"Jangkaan asal siap projek PLSB Sungai Golok Fasa 1 adalah pada Ogos tahun ini namun kontraktor memohon lanjutan masa selama 707 hari dan tarikh siap baharu projek ini adalah pada 26 Julai 2026.


"Bagi projek PLSB Sungai Golok 3, ia dimulakan pada April lalu membabitkan proses rekabentuk dan kerja fizikal dijangka bermula Januari tahun depan.


"Manakala projek PLSB Fasa 2 pula berada di peringkat Lembaga Perolehan bagi Pra-Kelayakan Tender di bawah Kementerian," katanya ketika ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.


Berkaitan pelan mitigasi banjir, beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran sudah menyediakan Pelan Induk Sistem Saliran Mesra (PISMA) bagi jajahan Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas.


Menurutnya lagi, pelan itu juga akan diteruskan bagi tahun hadapan yang membabitkan jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Bachok, Jeli dan Tumpat.


Sumber: Harian Metro

Opmerkingen


bottom of page