top of page

Projek perumahan di Taman Kelab Ukay tidak boleh dilaksanakan pada masa ini - MPAJ


Projek perumahan di Taman Kelab Ukay tidak boleh dilaksanakan pada masa ini - MPAJ
Sekiranya pemaju berhasrat meneruskan projek itu, mereka perlu memohon semula kebenaran merancang. -Change.org

Projek perumahan di Taman Kelab Ukay tidak boleh dilaksanakan pada masa ini - MPAJ

KUALA LUMPUR: Pembinaan projek perumahan yang dirancang di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Ampang tidak boleh dilaksanakan pada masa ini, kerana tempoh Kebenaran Merancang (KM) yang diberikan untuk membangunkan kawasan itu sebelum ini, telah luput pada 13 Okt tahun lepas.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ani Ahmad berkata oleh itu, sekiranya pemaju Lembah Langat Development Sdn Bhd berhasrat untuk meneruskan projek tersebut, mereka perlu memohon semula kebenaran merancang, bagi membolehkan segala aspek pembangunan di kawasan bercerun diteliti.


"Kalau hendak teruskan pembangunan, dia (pemaju) perlu melalui proses yang sama semula, antaranya kena mengemukakan cadangan pembangunan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JTPKSAS), serta membuat Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) yang diluluskan oleh PlanMalaysia@Selangor.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Hanya setelah proses itu dilakukan dan semua syarat dipatuhi, baru ia (cadangan pembangunan) akan diangkat semula ke Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) MPAJ, untuk kita tengok semua aspek sebelum memberikan kelulusan, tetapi setakat ini pemaju belum memohon semula," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MPAJ, di sini hari ini.


Ani berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam, yang menyatakan kebimbangan penduduk sekitar terhadap kemungkinan kejadian tanah runtuh dan bencana, sekiranya projek perumahan tersebut dilaksanakan kawasan itu.


Menurut laporan itu, cadangan pembangunan projek berkenaan merangkumi pembinaan 54 rumah bandar tiga tingkat bagi fasa pertama, satu blok pangsapuri tiga tingkat berjumlah 84 unit (fasa dua) dan masing-masing satu blok pangsapuri 29 dan 37 tingkat dengan keseluruhan 610 unit (masing-masing bagi fasa tiga dan empat).


Ani berkata kandungan cadangan pembangunan itu telah diluluskan oleh mesyuarat JTPKSAS pada 24 Sept 2019, disusuli kelulusan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) pada 5 Nov 2019 dan kelulusan OSC pada 23 Dis tahun yang sama.


Kelulusan KM pula dikeluarkan pada 2020 meliputi tempoh setahun bermula 14 Okt 2020 hingga 13 Okt 2021, sebelum ia dilanjutkan setahun lagi bermula 14 Okt 2021 hingga 13 Okt 2022.


Namun Ani berkata sehingga 7 Okt 2022, tiada kerja-kerja pemajuan dimulakan di tapak, walaupun Notis Memulakan Kerja Tanah (Borang B) dikemukakan oleh pemaju kepada MPAJ, menyebabkan kelulusan KM yang telah diberikan menjadi luput pada 13 Okt 2022.


"Sebenarnya untuk sebarang kemajuan, pembangunan yang hendak dilaksanakan di mana-mana kawasan terutama yang melibatkan kawasan-kawasan sensitif seperti cerun, MPAJ tidak akan meluluskannya secara bersendirian.


"Sebaliknya, ia akan diluluskan dahulu oleh JTPKSAS yang dianggotai pelbagai agensi teknikal antaranya Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya; Jabatan Pengaliran dan Saliran; serta Jabatan Mineral dan Geologi, untuk melihat keseluruhan aspek termasuk status tanah dan batu di kawasan terlibat," katanya.


Dalam perkembangan lain, Ani berkata MPAJ akan menggunakan Sistem Kelulusan Bersepadu (SKB) bermula 1 Okt ini, bagi menapis sebarang permohonan perkhidmatan yang diterima.


Ini termasuk urusan permohonan bagi kelulusan lesen perniagaan premis, kelulusan permit ubah suai bangunan, perbelanjaan kos penyelenggaraan di kawasan Jawatankuasa Pengurusan Taman Perindustrian (IPMC) dan proses tukar nama hak milik Borang I dan J.


"SKB ialah sistem semakan berpusat, yang akan meningkatkan kutipan cukai taksiran MPAJ kerana melaluinya semakan tunggakan cukai akan dilaksanakan, sebelum mana-mana permohonan diluluskan.


"Ia juga nanti akan diintegrasikan dengan sistem MPAJ sedia ada iaitu e-PBT dan i-Comm, sebelum akhir Disember," katanya.


Sumber: Astro Awani


Projek perumahan di Taman Kelab Ukay tidak boleh dilaksanakan pada masa ini - MPAJ


Comments


bottom of page