PUTRAJAYA: Pasukan petugas khas reformasi agensi (STAR) mengkaji semula secara terperinci semua kaedah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek penyelenggaraan kecil berkepentingan rakyat.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, langkah itu sekali gus ternyata berjaya direalisasikan sekurang-kurangnya ia boleh disiapkan dalam tempoh tiga bulan berbanding secara konvensionalnya mengambil masa sehingga lebih enam bulan hingga setahun sebelum ini.
Beliau berkata, antara langkah STAR ialah mempermudahkan pelaksanaannya seperti meneliti dan memudah cara kaedah perolehan serta mengurangkan beberapa kerenah birokrasi melibatkan proses dan prosedur yang tidak perlu.
“Semalam, Perdana Menteri melancarkan inisiatif mempercepatkan pembinaan sekolah daif, di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi yang mana berjaya disiapkan dalam tempoh tidak sampai tiga bulan sahaja.
“Beliau menyatakan keterujaan bahawa tempoh singkat diambil untuk pelaksanaan inisiatif ini membuktikan keupayaan kita untuk memastikan setiap projek rakyat, terutamanya perkara paling asas iaitu pendidikan anak-anak serta kebersihan tandas, sebenarnya boleh dilakukan, walaupun pada asalnya kelihatan mustahil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kolokium Madani Perkhidmatan Awam di sini hari ini.
Mohd. Zuki berkata, perkhidmatan awam tidak lain dan tidak bukan adalah ejen utama kelangsungan gagasan Madani ini.
Katanya, adalah jelas bahawa pelaksanaannya bergantung kepada kapasiti perkhidmatan awam itu sendiri untuk bertindak sebagai ejen moral yang memacu hala tuju negara dan mengurus sumber negara.
“Madani yang sebenar-benarnya adalah apabila kita dapat melakukan sesuatu yang jelas nampak hasilnya pada mata dan pandangan rakyat.
“Nilai Madani seperti Ihsan dan Daya Cipta perlu kita terjemahkan sepenuhnya dalam tindakan bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Sumber: Utusan
Projek penyelenggaraan kecil boleh dipercepat seawal tiga bulan
Comentarios