top of page

Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Pekan Capai 63 Peratus


Foto BERNAMA

PEKAN, 21 Nov (Bernama) -- Kerja-kerja bagi projek pengawalan hakisan pantai di Kampung Tanjung Batu, Nenasi di sini yang melibatkan pemulihan pesisir pantai sepanjang 4.3 kilometer (km) dan mendalamkan muara Sungai Tering telah mencapai kemajuan 63 peratus.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata kemajuan projek yang dijangka siap pada 2026 itu adalah lebih cepat daripada dijadualkan dan penting bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada lebih 2,000 penduduk setempat.


"Kita mahu setiap projek kerajaan mesti disiapkan mengikut tempoh ditetapkan atau lebih awal kerana rakyat berhak mendapat manfaat daripada setiap projek dilaksanakan.


"Tugas kita adalah menyelesaikan masalah rakyat dan peruntukan besar disediakan oleh kerajaan tidak bererti jika projek gagal disiapkan, manakala mereka tidak dapat menikmati kemudahan," katanya.


Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Daerah Pekan Datuk Zaliza Zulkipli pada Program 150,000 Jam Kerja Selamat Tanpa Kemalangan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Tanjung Batu, Nenasi di sini hari ini.  


Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar berkata apabila siap kelak, projek bernilai RM58 juta itu dijangka merubah wajah Kampung Tanjung Batu dan Nenasi, sementara Bukit Tanjung Batu yang dikenali sebagai lokasi melihat anak bulan di Malaysia pasti menjadi lebih terkenal.


Beliau berkata dengan itu, ia mampu memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk dan merancakkan ekonomi setempat khususnya dalam sektor perikanan dan pelancongan.  


"Dengan pembinaan 'training wall' (tembok yang mengarahkan aliran air) ini, ia menjadikan muara Sungai Tering dan alur pelayarannya selamat untuk bot-bot nelayan dan sesuai bagi aktiviti pelancongan.


"Selain itu, kerja penambakan pantai yang menjadikan Pantai Nenasi lebih lebar dan bersih pastinya menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara, sekali gus mengalakkan pembinaan chalet serta hotel bajet," katanya.


Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak Vista Infinity Development Sdn Bhd (Vista) yang merupakan kontraktor utama projek berkenaan kerana mencatat rekod 150,000 jam kerja selamat tanpa kemalangan selain berupaya melaksanakannya dengan cepat.


Sumber: Bernama

Comments


bottom of page