top of page

Projek Pelebaran Lorong Tambahan Lebuhraya KLK Dijangka Mula Januari


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Projek pelebaran lorong tambahan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) yang berupaya menangani isu kesesakan terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu dijangka bermula pada Januari hadapan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pihak syarikat konsesi sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk projek berkenaan sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal di tapak.


Kelewatan ini adalah disebabkan oleh pertukaran pemegang saham yang baru sahaja dimuktamadkan. Berdasarkan Perjanjian Konsesi, tempoh pembinaan pelebaran Lebuhraya KLK adalah selama empat tahun dan dijangka siap pada tahun 2029.


Mengenai rancangan kementerian bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di Lebuhraya KLK dan sama ada terdapat laluan alternatif akan dibina bagi jaringan menghala ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur.


Projek pelebaran yang akan dilaksanakan AFA Prime Berhad (dahulu dikenali sebagai ANIH Berhad) selaku pemegang konsesi Lebuhraya KLK akan melibatkan jarak sepanjang 45.3 kilometer (km) dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi lebuh raya.


Antara skop kerja pelebaran Lebuhraya KLK yang bermula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong adalah penambahan satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 (dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah) dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 (dari Genting Sempah ke Bentong).


Skop kerja itu akan melibatkan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur.


Berdasarkan kajian perunding trafik, Tahap Perkhidmatan (LOS) akan bertambah baik dari LOS E dan F sedia ada pada hujung minggu kepada LOS C selepas siap projek pelebaran Lebuhraya KLK itu kelak.


Kementerian Kerja Raya juga sedang melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembinaan Jalan dari Simpang Pelangai, Pahang ke Putrajaya bagi mencari penyelesaian untuk melengkapkan kesalinghubungan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di samping menentukan laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan kepada laluan sedia ada dari Pantai Timur ke Pantai Barat.


Kajian itu telah diluluskan dalam Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia ke-12 (RP4, RMKe-12) dengan kos siling kajian sebanyak RM2.5 juta dan bermula pada 12 Ogos lepas dan dijadualkan siap pada 12 Ogos 2025.


Skop kajian ini melibatkan Kajian Guna Tanah, Kajian Sosio Ekonomi, Kajian Trafik, Kajian Penilaian Saringan Impak Alam Sekitar, Kajian Penilaian Saringan Impak Sosial, Reka bentuk Awalan Kejuruteraan, Perincian Penilaian Ekonomi dan Kewangan dan Cadangan Fasa Pelaksanaan Projek.


Pelaksanaan projek fizikal adalah tertakluk kepada hasil kajian dan ketersediaan kewangan pihak kerajaan kelak.


Mengenai rancangan jangka pendek dan adakah kerajaan bercadang mengurangkan operasi tiga tol di Karak, Bentong dan Gombak kepada satu tol di lokasi sesuai, Lebuhraya KLK beroperasi secara sistem tol terbuka dan sebarang penggabungan daripada tiga kepada satu tol akan menyebabkan implikasi perjanjian yang telah ditandatangani.


Cara lain mengatasi kesesakan jangka pendek berikutan projek mengambil masa selama empat tahun, antara yang dilaksanakan ialah meletakkan kon tertentu termasuk di pusingan MRSM Bentong dan susur naik ke Genting Highlands dan penjajaran lorong di Plaza Tol Gombak selain penambahan lorong untuk bayaran di plaza tol berkaitan.


Selain itu, untuk masa depan, 665 km Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu East Coast Rail Link dijangka mengurangkan kadar trafik jalan biasa 30 ke 40 peratus kerana rakyat guna ECRL yang melalui 21 stesen di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.


Sumber: Bernama

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page