top of page

Projek pelebaran jalan di Pasar Harian Selayang perlu disegerakan


Rosli (dia dari kiri) menunjukkan tiga projek pembangunan sekitar Pasar Harian Selayang terdiri pelebaran jalan, pusat penyembelihan ayam dan bangunan Pasar Harian Selayang yang baharu.

KUALA LUMPUR - Projek pelebaran jalan di Jalan Selayang Baru perlu selesai serentak dengan Pasar Harian Selayang dan pusat penyembelihan ayam halal dijangka siap antara pertengahan tahun depan hingga Mei 2021.


Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, tindakan tegas dengan meroboh struktur yang dibangunkan atas tapak projek perlu dilakukan.


Menurutnya, ia berikutan pencerobohan atas tanah kerajaan tersebut telah menyebabkan halangan dan mengganggu kelancaran projek pelebaran jalan kepada empat lorong itu.


"Projek pelebaran jalan itu baru berjalan 30 peratus disebabkan isu halangan. Kontraktor dilantik perlu menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan.


"Kelewatan siap projek boleh mengganggu trafik di kawasan tersebut terutamanya selepas siapnya pusat penyembelihan ayam Mei 2021.

"Ini kerana sekurang-kurangnya 200,000 ayam akan di proses sehari, bagaimana lori keluar masuk ke sana dan bagaimana nasib penduduk setempat yang bakal menggunakan jalan sama jika naik taraf jalan itu tidak disiapkan sebelum dua projek yang lain selesai?," katanya pada sidang akhbar di Bangsar hari ini.


Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Rosli berkata, beliau menyambut baik usaha Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang telah turun padang meninjau lokasi berkenaan semalam.


"Kita berharap kekebalan pemilik premis yang telah menggunakan tanah rizab Wilayah Persekutuan diambil tindakan sewajarnya.


"Gabungan juga telah bertindak membuat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terhadap isu pencerobohan tanah kerajaan itu awal November lalu kerana ada usaha menghalang projek pelebaran jalan itu dilaksanakan," katanya.


Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Melayu Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur, Rashid Ashfur berkata, projek pembangunan di kawasan Pasar Harian Selayang itu sangat ditunggu-tunggu selepas berdepan banyak masalah antaranya infrastruktur jalan sempit dan gangguan.


"Sebenarnya pelebaran jalan empat lorong ini belum cukup menyelesaikan isu kesesakan di sana. Apabila sesuatu kawasan itu dibangunkan ia akan menyebabkan pertambahan penduduk.


"Kita sambut baik usaha DBKL memajukan kawasan itu namun pada masa sama saya berharap kerajaan negeri Selangor juga melakukan perkara sama memandangkan lokasi projek terletak antara dua sempadan negeri berkenaan," katanya.


Sumber: Sinar Harian


30 views

Comments


bottom of page