TAWAU: Projek pembinaan jalan Pan Borneo menghubungkan Tawau dan Semporna yang terbengkalai selama dua tahun kini dijalankan semula.
Projek jalan sepanjang 5 kilometer dan bernilai RM63.77 juta itu telah bermula pada 30 Julai lalu dan dijangka akan siap dalam tempoh 15 bulan iaitu pada Oktober 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Hamild Awang dalam lawatannya ke tapak projek tersebut berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan peruntukan untuk menyambung semula projek tersebut.
Katanya pembinaan jalan tersebut turut memberikan manfaat kepada penduduk daerah berhampiran Tawau malah turut mejadi laluan penting ke Sandakan dan Kota Kinabalu.
"Kita berharap agar pembinaan jalan ini akan dilaksanakan dengan baik dan ini juga akan memanfaatkan masyarakat sekitar bukan sahaja di kawasan DUN Balung ini tetapi di daerah Tawau dengan daerah-daerah yang berdekatan dengan daerah Tawau ini seperti Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
"Projek WP15 ini adalah salah satu projek yang memang dirancang oleh pihak kerajaan melalui pembangunan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Negeri Sabah," katanya.
Hamild turut berharap pihak kontraktor yang terlibat dalam pembinaan jalan tersebut akan mengambil kira faktor keselamatan memandangkan kawasan tersebut pernah dilanda banjir kilat.
"Apa yang saya ingin tekankan kepada kontraktor agar lebih memerhatikan tentang pembinaan perparitan kerana dengan adanya perparitan yang baik, ia boleh memberikan ketahanan ke atas jalan itu.
"Yang kedua ia juga akan mengelakkan sekiranya ada banjir kilat dan sebagainya kerana di kawasan ini ada juga penduduk berdekatan yang pernah mengalami banjir kilat di kawasan ini," katanya.
Hamild juga berharap pihak kerajaan akan dapat melaksanakan Projek Jalan Pan Norneo tersebut sepenuhnya untuk kemudahan rakyat Sabah.
Sumber: Astro Awani
Comments