KUALA LUMPUR : Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak fasa satu yang dijadual siap pada penghujung tahun ini dijangka mengalami kelewatan, melangkaui suku pertama tahun depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata pandemik COVID-19 memberi kesan ke atas kemajuan kerja dan kos pembinaan projek itu.
"Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan sentiasa memantau dan membuat pelbagai pelan mitigasi, antara lainnya penyelarasan semula jadual pembinaan dan Lanjutan Masa (EOT) bagi memastikan tarikh siap tidak terlalu jauh dari tarikh asal," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai perkembangan terkini projek itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KKR mengambil langkah proaktif untuk memantau prestasi kemajuan secara berterusan melalui lawatan berkala dan sesi libat urus bersama kontraktor dan perunding yang terbabit.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sudah meluluskan beberapa projek berimpak tinggi bagi fasa dua lebuh raya itu, termasuk pelaksanaan jajaran Transborneo, merangkumi jajaran fasa dua Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang dibatalkan kerajaan terdahulu.
"Fasa dua jajaran Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) sebagai kesinambungan fasa satu SSLR adalah bagi menambahbaik jaringan jalan raya dari Miri, Limbang dan Lawas," katanya.
Menjawab soalan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (BERSATU-Beaufort) berkenaan projek sama di Sabah, beliau berkata, satu pakej kerja baharu membabitkan laluan dari Serusop ke Pituru sepanjang 20.8 kilometer sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Beliau berkata, ia adalah kesinambungan pelaksanaan 15 pakej kerja sepanjang 281 km yang kini dalam fasa pembinaan.
Sementara itu, katanya, setakat Februari lalu, kerajaan juga meluluskan 15 projek infrastruktur jalan dan jambatan persekutuan di Sabah.
Sumber: Berita Harian
Comments