
KUANTAN, 07 OKTOBER 2024 : Projek Paip Agihan Air dari Kemaman ke Gebeng melibatkan Pakej 1 dan Pakej 2 telah siap sebanyak 99.7 peratus setakat ini dan djangka siap sepenuhnya November ini.
Menurut satu kenyataan media oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, projek berkenaan kini dalam proses pengujian dan pentauliahan.
“Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ICC ECER) Negeri Pahang hari ini, saya ingin memaklumkan bahawa Projek Paip Agihan Air dari Kemaman ke Gebeng (Pakej 1 dan 2) kini telah 99.7 peratus siap dan dalam proses pengujian danpentauliahan.
“Projek bernilai RM115 juta yang dijangka siap sepenuhnya November ini, menyediakan bekalan air yang stabil dengan kapasiti simpanan air mencukupi bagi memenuhi keperluan komersial dan domestik di kawasan penempatan yang tinggi menjelang tahun 2025, terutama di kawasan perindustrian Gebeng dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).
“Dengan siapnya projek yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ini, insya-Allah bekalan air di kawasan perindustrian Gebeng dan penduduk sekitarnya tidak akan terjejas di masa akan datang,” katanya.
Menurut beliau, melalui peningkatan infrastruktur ini, projek pelaburan baharu dapat diteruskan seperti pembangunan MCKIP 3 yang kini dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada Julai 2025.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga akan terus komited untuk melaksanakan pelbagai lagi projek bekalan air di seluruh negeri bagi memastikan rakyat dapat menikmati bekalan air dengan baik dan sejahtera di masa akan datang.
Sumber: Pahang Media
Comments