
PUTRAJAYA: Projek monorel Putrajaya yang sebelum ini ditangguhkan akan diteruskan dan dijangka siap pada 2025.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, mengesahkan kerajaan akan meneruskan pembinaan laluan monorel yang sebelum ini ditangguhkan pada pertengahan 2004 tetapi diterajui Kementerian Pengangkutan dan bukan Perbadanan Putrajaya (PPj) sepenuhnya.
Beliau berkata, pembinaan laluan monorel itu bukan hanya di kawasan Putrajaya, malah melangkaui luar kawasan membabitkan jajaran baharu terdiri Cyberjaya, Bangi dan Kajang.
“Pembinaan di Putrajaya ini akan mengikut perancangan asal yang bakal memberi manfaat kepada warga Putrajaya, termasuk pelancong luar,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Jubli Perak Putrajaya 2020 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar.
Pada majlis itu Khalid turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan logo Jubli Perak Putrajaya 2020 kepada Muhammad Zaidi Abdullah yang menerima wang tunai RM5,000 serta medal.
Sambutan Jubli Perak Putrajaya 2020 akan berlangsung mulai bulan ini sehingga hujung tahun, akan dipenuhi 14 acara khas antaranya menanam kapsul masa yang akan dilakukan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada 29 Ogos.
Mengikut perancangan asal, monorel Putrajaya dicadangkan mempunyai dua aliran, satu sepanjang 12 kilometer (km) dengan 17 stesen dan satu lagi sepanjang 6 km dengan enam stesen.
Khalid berkata, perkhidmatan monorel itu akan melengkapkan sistem pengangkutan awam di Putrajaya yang dibangunkan dengan sistem infrastruktur ketika pembinaan dahulu, antaranya jambatan dan terowong.
Katanya, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan dan jajaran yang baharu telah ditetapkan dalam kawasan Putrajaya kekal seperti dirancang.
Beliau berkata, projek itu akan dibangunkan dengan perancangan lain termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dimasukkan sekali ke kawasan Putrajaya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, sebanyak 97 peratus penduduk Kampung Baru bersetuju untuk menjual tanah milik mereka dengan nilai baharu yang ditawarkan kerajaan.
Katanya, beliau yakin penduduk Kampung Baru akan bersetuju kerana tawaran itu cukup baik dan adil yang akan melahirkan ribuan jutawan Melayu dan boleh menghasilkan penambahan hak milik Melayu di Kuala Lumpur.
Sumber: Berita Harian
Comments