top of page

Projek LTU: Penduduk Kesedar Renok Baru kecewa dilabel penceroboh


Projek LTU: Penduduk Kesedar Renok Baru kecewa dilabel penceroboh
Seramai 75 penduduk RKT KESEDAR Renok Baru bertemu Ahli Perlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim bagi mengadu nasib mereka, di sini semalam. FOTO Paya Linda Yahya

Projek LTU: Penduduk Kesedar Renok Baru kecewa dilabel penceroboh

Gua Musang: Seramai 75 penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok Baru di sini, resah apabila diminta mengosongkan rumah dan premis kedai mereka yang terbabit dengan projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej 2C, di sini.


Penduduk mendakwa, mereka sudah menerima arahan pengosongan rumah dan kedai mereka sejak setahun lalu, namun tidak dapat melakukannya kerana tiada pampasan diberikan.


Penduduk, Lazizi Mamat, 28, berkata dia kesal kerana tiada pampasan diberikan kepada mereka yang tinggal di situ sejak lebih 10 tahun.


"Apa yang lebih mengecewakan apabila kami dilabelkan sebagai 'penceroboh' tanah sedangkan kami sudah menduduki lebih 10 tahun dan membayar sewa tanah sebanyak RM10 sebulan kepada pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Tapak rumah saya terbabit dengan kawasan projek LTU, tetapi tidak mendapat pampasan setimpal. KESEDAR juga bersikap lepas tangan walaupun sebelum ini saya membayar RM10 sebulan sebagai bayaran sewa tanah sejak tahun 2011.


"Saya tak faham, jika ini tanah rizab jalan kerajaan kenapa sebelum ini pihak KESEDAR mengambil wang dan kami dibenarkan untuk membuat rumah atau premis kedai," katanya ketika ditemui di RKT Kesedar Renok Baru di sini, semalam.


Lazizi berkata, dia sudah membelanjakan lebih RM100,000 bagi membina rumahnya sejak berumur 18 tahun dan resah memikirkan nasib keluarganya.


"Saya, isteri dan tiga orang anak hendak tinggal di mana selepas ini jika tidak diberi sebarang bantuan. Ini tak adil untuk keluarga saya.


"Saya bukan nak pampasan beratus ribu. Sekurang-kurangnya berilah bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) untuk kami meneruskan hidup," katanya.


Seorang lagi penduduk, Noor Hayati Hussin, 40, pula berharap masalah yang dihadapi mereka mendapat perhatian yang sewajarnya dan dapat diselesaikan secara baik.


"Saya sudah berhabis RM60,000 untuk membina rumah di sini sejak 15 tahun lalu. Kami bimbang kerana rumah bakal dirobohkan untuk projek pembinaan jalan selepas ini.


"Saya buntu kerana setakat ini masih belum mendapat bayaran pampasan. Saya berharap pihak kerajaan bantu kami termasuklah memberi bantuan rumah PPRT untuk penduduk yang terbabit," katanya.


Sementara itu, Ahli Perlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, sebanyak 164 penduduk terbabit dengan projek LTU Pakej 2C di RKT Renok Baru ini.


Katanya, sebahagian daripada penduduk sudah mendapat bayaran pampasan manakala nasib penduduk selebihnya masih lagi tergantung.


"Isu yang kita dapat di sini aduan berkenaan pampasan kepada penduduk apabila ada sebahagiannya tidak dapat.


"Saya mewakili penduduk di sini akan bawa isu itu kepada pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum penduduk laksanakan proses mengosongkan atau melupuskan tapak rumah. Kita berharap ada satu jaminan sagu hati daripada pihak kerajaan kepada penduduk yang kebanyakannya adalah golongan B40," katanya.


Sumber: Harian Metro


Projek LTU: Penduduk Kesedar Renok Baru kecewa dilabel penceroboh


Kommentare


bottom of page